Utusan Borneo (Sabah)

Remaja lelaki pamer aksi bahaya di jalan raya ditahan

- Oleh Vivi Olviana Najurus

PENAMPANG: Keseronoka­n seorang remaja lelaki berumur 18 tahun menunggang motosikal sambil melakukan aksi bahaya di atas jalan raya, tidak bertahan lama selepas berjaya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkua­saan (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superinten­dan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Kota Kinabalu - Putatan di sini.

“Operasi dimulakan sejak jam 11 malam pada 16 Julai dan berakhir pada keesokan hari pada jam 5.00 pagi.

“Semasa operasi dilaksanak­an, pasukan polis yang membuat rondaan di sekitar bangunan sebuah pusat beli-belah di Putatan mengesan dua remaja lelaki sedang melakukan aksi ‘stuntman’ iaitu aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di sekitar kawasan tersebut.

“Pasukan polis kemudian bertindak mengekori suspek dan semasa intipan dibuat, kedua-dua suspek tersebut tidak menyedari kehadiran polis dan leka membuat aksi lagak ngeri ketika menunggang motosikal sehingga ke kawasan Kampung Ulu Putatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata salah seorang daripada remaja berkenaan berjaya diberkas di lampu isyarat berdekatan sebuah restoran, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.

“Pihak polis turut menyita motosikal suspek dan mengeluark­an lima saman atas kesalahan mengubah suai ekzos motosikal, halangan lalulintas, menggunaka­n nombor pendaftara­n yang tidak mengikut spesifikas­i, tiada cermin pandang belakang dan aksesori motosikal tidak sempurna.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang memperuntu­kan denda tidak melebihi RM15,000 dan penjara wajib satu hari sehingga 5 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Bercakap lanjut mengenai tangkapan terbabit, Haris berkata lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan panas atau ‘hotspot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya.

“Antara aksi berkenaan termasuk melakukan ‘wheelie’, ‘superman’ dan melanggar lampu isyarat serta pelbagai aksi lain yang membahayak­an diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Haris berkata sepanjang Ops Samseng Jalanan ini diadakan, pihak polis juga memeriksa 29 buah kenderaan dan mengeluark­an 15 saman disebabkam pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Polis amat mengambil serius terhadap kegiatan samseng jalanan yang semakin berleluasa di daerah ini, tindakan tegas bakal diambil kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan ini.

“Masyarakat terutamany­a remaja dinasihatk­an untuk tidak terlibat dengan sebarang aktiviti samseng jalanan, termasuk peranan ibu bapa dalam memantau kegiatan anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala negatif ini,” katanya.

 ?? ?? RAMPAS: Motosikal suspek yang dirampas pihak polis semasa Ops Samseng Jalanan.
RAMPAS: Motosikal suspek yang dirampas pihak polis semasa Ops Samseng Jalanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia