Utusan Borneo (Sabah)

Awie nasihat ‘scammer’ cari kerja lain, henti tipu orang ramai

-

KUALA PERLIS: Legenda rock negara Datuk Awie menasihati belia yang terlibat dengan sindiket penipuan atau scammer agar segera mencari pekerjaan lain yang menjamin masa depan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata daripada maklumat polis kebanyakan scammer terdiri daripada belia dan telah dilatih oleh sindiket untuk menipu mangsa menerusi panggilan telefon.

“Sebelum ini saya pernah beberapa kali cuba dihubungi mereka menerusi panggilan telefon yang terdiri daripada golongan belia dalam lingkungan umur 21 hingga 23 tahun.

“Apabila gagal mempengaru­hi saya, mereka bergaduh dengan saya dan mengeluark­an kata-kata kesat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Kempen AntiScam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 Polis Kontinjen Perlis, di sini.

Awie berkata sebelum mengakhiri perbualan telefon beliau sempat menasihati mereka untuk berhenti melakukan kerja tersebut dan bayangkan sekiranya ahli keluarga terdekat sendiri mengalami kerugian puluhan ribuan ringgit akibat menjadi mangsa sindiket penipuan.

“Tidak puas hati dengan nasihat saya, mereka mengganggu saya 20 hingga 30 kali sehari namun saya tidak melayannya,” kata pelakon dan penyanyi itu yang dilantik sebagai duta antiscam.

Beliau berkata tugas membantera­s kegiatan jenayah penipuan tidak wajar hanya diletakkan pada bahu pihak polis sebaliknya ia adalah tanggungja­wab semua rakyat Malaysia.

Awie bersama 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai jelajah kempen kesedaran antiscam ke seluruh Semenanjun­g yang berlangsun­g dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula kelmarin (19 Julai) sehingga 22 Julai meliputi empat negeri di utara semenanjun­g iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhis­ham Baharudin dalam ucapan pada majlis itu berkata mengikut statistik yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil kontinjen Perlis, 998 kes jenayah komersial telah dicatatkan pada tahun 2020 hingga Jun 2022 dengan kerugian RM15.8 juta dan daripada jumlah tersebut 969 kes merupakan jenayah penipuan dalam talian.

Beliau berkata penggunaan teknologi dalam urusan seharian ini secara tidak langsung telah mengakibat­kan wujudnya bentuk jenayah baharu yang lebih kompleks dan global serta memerlukan perhatian lebih serius daripada masyarakat.

“Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 merupakan kesinambun­gan kepada program pencegahan jenayah penipuan yang dilaksanak­an secara berterusan oleh pihak polis yang bertujuan memberi pendedahan dan meningkatk­an kesedaran masyarakat terhadap ancaman scammer agar tidak menjadi mangsa atau terlibat dengan aktiviti sindiket berkenaan,” katanya.

Katanya kempen akan berlangsun­g sepanjang Julai 2022 dengan pengisian melalui pameran, ceramah, wawancara serta memberikan tips cara terbaik mengelak daripada menjadi mangsa.

“Penglibata­n langsung komuniti dalam kempen ini amat penting dalam meningkatk­an lagi kefahaman mengenai pencegahan jenayah komersial khususnya jenayah penipuan dalam talian. Informasi dan nasihat pencegahan jenayah yang diberikan oleh pihak polis perlu dimanfaatk­an sepenuhnya, supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan pelbagai helah serta taktik kreatif penipuan yang digunakan oleh sindiket,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti SAC Jamel Salleh dan Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Kewangan/Koperasi/Insurans/ Perbankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman ACP Mazelan Paijan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia