Utusan Borneo (Sabah)

Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

-

SHAH ALAM: Seorang pengarah di sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM5,000 kononnya sebagai balasan melantik pembekal melaksanak­an kerjakerja membekal benih, baja dan racun.

Khusairi Husain, 56, sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor didakwa menerima untuk dirinya iaitu wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang dia ketahui badan tersebut ada kena-mengena dengan tugasan rasminya.

Khusairi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Khusairi didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 Nov 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahka­n pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan.

Peguam Noor Adzrie Mohd Noor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai empat anak.

“Saya mencadangk­an jaminan RM5,000 dan sepanjang ditahan tertuduh memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM selain tidak membantah sebarang syarat tambahan dikenakan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia