Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia lancar Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Menopaus

-

PETALING JAYA: Malaysia kini merupakan antara perintis dalam pengurusan garis panduan menopaus di Asia Tenggara dengan pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Menopaus di Malaysia kelmarin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pelancaran itu menandakan pencapaian bersejarah dalam kejayaan penjagaan kesihatan Malaysia dan kementeria­n akan menyokong inisiatif tersebut dengan usaha meningkatk­an kesedaran mengenai menopaus. “Kesihatan seorang wanita semasa tempoh menopaus membawa pengaruh yang besar terhadap kesihatan dan produktivi­ti ekonomi negara kita,” katanya dalam video prarakaman yang dipertonto­nkan kepada peserta semasa pelancaran CPG di sini kelmarin.

“Separuh daripada wanita akan menjalani kehidupan mereka melebihi usia 78 tahun. Justeru, diharapkan agar CPG ini menjadi langkah pertama dalam mendidik petugas kesihatan Malaysia supaya proaktif dalam menguruska­n kesihatan menopaus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi jawatankua­sa CPG dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Premitha Damodaran berkata garis panduan itu meliputi pelbagai maklumat mengenai gejala menopaus, penilaian dan penyiasata­n klinikal, pelbagai rawatan dan kesannya serta perspektif agama terhadap menopaus.

Beliau berkata CPG akan disediakan di pelbagai platform termasuk Kementeria­n Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, dan Persatuan Menopaus Malaysia.

“Buat permulaan, CPG akan disediakan untuk pekerja kesihatan sebelum ia diedarkan kepada orang awam dalam bahasa yang lebih mudah serta borang risalah maklumat pesakit dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil,” kata Premitha kepada pemberita selepas pelancaran itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia