Utusan Borneo (Sabah)

Thiem melangkah ke semifinal Jelajah ATP

-

GSTAAD: Dominic Thiem melangkah ke perlawanan separuh akhir pertamanya dalam Jelajah ATP sejak Mei 2021 apabila menewaskan pemain dari Peru, Juan Pablo Varillas di sini pada Jumaat.

Bekas juara Terbuka Amerika (AS) itu menang 64 dan 6-3 dan akan bertemu pilihan kedua kejohanan, Matteo Berrettini ketika mengintai final pertamanya sejak Final Jelajah ATP pada 2020.

Thiem tidak beraksi pada separuh kedua musim tahun lepas kerana kecederaan pergelanga­n tangan dan tewas enam perlawanan pertama musim ini.

“Saya gagal menyempurn­a mata akhir pada 5.2 dalam set pertama tetapi ia juga kerana saya berasa sedikit gemuruh disebabkan ia mungkin separuh akhir pertama saya sejak setahun setengah,” kata Thiem, yang juga melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan di Bastad minggu lepas.

“Saya memerlukan mata untuk naik kedudukan ranking. Saya berasa gembira kerana dapat menangani debaran saya.”

Thiem, yang berada pada ranking ke-274 dunia ketika ini tetapi akan naik ke dalam kelompok 200 teratas, berharap untuk memenangi kejuaraan ATP ke-18 dalam kariernya pada kejohanan di permukaan tanah liat ini.

“Esok saya boleh bermain tanpa rasa gemuruh dan mencuba sebaik yang saya mampu,” kata pemain berusia 28 tahun itu, “Apabila saya berkunjung ke Bastad minggu lepas, saya tidak menjangka melangkah ke suku akhir di sana dan ke separuh akhir.”

“Ia benar-benar menarik dan saya gembira dengan perkembang­an ini.”

Berrettini, naib juara Wimbledon tahun lepas, bangkit dari ketinggala­n sebelum menewaskan Pedro Martinez dari Sepanyol 3-6, 7-6(7/5) dan 6-1.

Jaguh dari Itali itu tidak beraksi di Wimbledon tahun ini selepas positif COVID19 bulan lepas tetapi dia memburu kejuaraan ketiga berturut-turut selepas memenangi kejohanan di Queen’s dan Stuttgart.

Berrettini membayangk­an kekalahan apabila ketinggala­n 1-5 pada permainan tiebreak set ketiga sebelum mengutip enam mata berturut-turut sebelum membawa permainan ke set penentuan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia