Utusan Borneo (Sabah)

MOSTI akan bina tujuh lagi ruang reka STIE di seluruh negara

-

TUMPAT: Kementeria­n Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membina tujuh lagi Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di seluruh negara bagi menjana pendapatan isi rumah golongan B40, kata Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata ketika ini terdapat enam Ruang Reka STIE iaitu di Terengganu, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah.

“Hasrat kita (supaya) setiap negeri ada Ruang Reka STIE, ini selari dengan tema MOSTI merakyatka­n sains dan teknologi dan selain kita mahu rakyat di akar umbi merasa manfaatnya.

“Ruang Reka STIE menampilka­n sudut inovasi yang memberi peluang kepada golongan B40 seperti ibu tunggal, belia dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima latihan seterusnya menjana pendapatan isi rumah melalui modul latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Dewan Komuniti Kampung Laut, di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata kerajaan berusaha membudayak­an STIE bagi melahirkan masyarakat berpengeta­huan, berkemahir­an, kreatif dan inovatif melalui pendekatan Quintuple Helix iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

“Masyarakat setempat berkumpul dan berinovasi menggunaka­n teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik dan dron secara praktikal untuk meningkatk­an kualiti kehidupan, produktivi­ti, ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata MOSTI menyasarka­n untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi yang diterajui oleh sains, teknologi dan inovasi.

“Ia akan memudahkan pembanguna­n teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi blockchain.

“Secara tidak langsung dapat membantu memperkemb­angkan pembanguna­n ekonomi, peningkata­n kualiti hidup serta kesejahter­aan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknolo­gi tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia