Utusan Borneo (Sabah)

Sambutan Hari Puisi Kebangsaan julung kali di Sabah

-

SEMPORNA: Hari Puisi Kebangsaan yang buat pertama kalinya disambut di Sabah bertujuan memperkasa­kan lagi sastera Melayu di negeri ini.

Naib Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Hassan Saprin berkata, ia bukan sahaja memperkasa­kan sastera Melayu di negeri ini, tetapi juga di peringkat kebangsaan dan serantau.

“Program yang bertemakan, Puisi Kebangsaan Lambang Jati Diri Bangsa Malaysia itu diisi dengan pelbagai program antaranya acara deklamasi puisi, pertanding­an deklamator puisi, bengkel penulisan dan kemuncakny­a ialah penyampaia­n anugerah Tokoh Penyair Hari Puisi Kebangsaan peringkat Negeri Sabah 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Sambutan Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022 di sini baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan oleh BAHASA, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), dengan kerjasama Badan Bahasa Cawangan Semporna, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Hassan yang juga Ketua Penyelaras Bahasa Zon Pantai Timur Sabah berkata, bagi Anugerah Tokoh Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022, beberapa calon dikemukaka­n kepada Badan BAHASA.

Namun jelasnya, hanya dua calon yang layak dibawa ke peringkat akhir, bersesuaia­n dengan syarat yang ditetapkan oleh GAPENA sebagai penganjur utama program ini di peringkat kebangsaan.

“Antara syarat yang diputuskan GAPENA ialah calon mesti ahli badan penulis di negeri Sabah dan aktif dalam bidang puisi lebih 30 tahun.

“Calon juga menghasilk­an sekurang kurangnya lima buku kumpulan puisi antaranya terbitan DBP dan ITBM selain menghasilk­an sekurang kurangnya lima puisi yang tersiar dalam beberapa penerbitan di peringkat kebangsaan seperti Majalah Dewan Sastera dan akhbar utama di peringkat kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, pemenang juga mesti pernah memenangi Hadiah Puisi di peringkat negeri dan kebangsaan, seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan pernah memenangi beberapa hadiah puisi yang lain.

“Setelah dinilai dan dipersetuj­ui oleh pihak Jawatankua­sa Pusat Badan BAHASA , justeru tokoh yang dipilih dan dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Penyair Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022 ialah Datuk Jasni Matlani. Beliau menerima senaskhah al-Quran, kain persalinan dan wang tunai RM500.

“Sepanjang penglibata­n Jasni dalam bidang perpuisian, beliau menghasilk­an lebih 700 puisi eceran dan enam buku kumpulan puisi.

“Beliau juga pernah beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Sabah dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Malah baru-baru ini memenangi Hadiah utama Sayembara Menulis buku puisi sempena Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia (KLWC), melalui buku kumpulan puisi ‘Minotaur yang bijaksana dalam labirin pulau kami’,” jelasnya.

 ?? ?? ANUGERAH: Jasni menerima Anugerah Tokoh Penyair sempena Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022 daripada Hajan.
ANUGERAH: Jasni menerima Anugerah Tokoh Penyair sempena Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022 daripada Hajan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia