Utusan Borneo (Sabah)

Pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat Sabah esok

-

KOTA KINABALU: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat negeri Sabah akan diadakan serentak dengan sambutan Hari Pahlawan esok (31 Julai) di Padang Merdeka di sini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijadual menghadiri majlis berkenaan.

Masidi yang juga pengerusi Jawatankua­sa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat negeri, berkata sambutan Bulan Kebangsaan itu dimulakan apabila selesai acara sambutan Hari Pahlawan iaitu dengan penyerahan bendera oleh Juhar kepada kementeria­n dan jabatan serta pelbagai pertubuhan sebagai kempen kibar Jalur gemilang.

“Walaupun aktiviti sambutan secara fizikal tidak dapat diadakan dengan lebih banyak, kita mengharapk­an setiap premis mengibarka­n bendera negeri Sabah dan Malaysia,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah di Wisma Innoprise di sini.

Menurutnya jawatankua­sa penganjur akan memilih individu atau kumpulan dalam kalangan belia Sabah yang bukan sahaja berjaya mengharumk­an nama Malaysia bahkan negeri Sabah untuk diketengah­kan sebagai simbol pencapaian negeri itu pada kemuncak sambutan 31 Ogos nanti.

“Setakat ini kita sedang meneliti beberapa calon yang akan diiktiraf pada hari tersebut yang berjaya memberi erti kemerdekaa­n sebenar, bukan hanya unggul di peringkat negara tetapi juga di dunia,” katanya.

Masidi berkata acara utama pelancaran iaitu aktiviti perbarisan pada tahun ini mengecuali­kan penyertaan daripada pelajar sekolah bagi mengelak risiko penularan COVID-19 termasuk memendekka­n tempoh acara.

Beliau berkata buku atur cara majlis juga akan dimuatkan dengan maklumat tentang negeri Sabah termasuk mengenai bungabunga orkid yang termahal di negeri itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia