Utusan Borneo (Sabah)

Kinabalu Geopark sebagai UNESCO Global Geopark dijangka diketahui tahun depan

-

RANAU: Keputusan status Kinabalu Geopark untuk diangkat sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark dijangka hanya diketahui pada tahun depan.

Penasihat Kinabalu Geopark Profesor Dr Felix Tongkul berkata wakil daripada UNESCO iaitu Nick Powe dan Dr Sophie Justice akan membuat laporan berdasarka­n geotapak yang telah dilawati sepanjang empat hari penilaian bermula 18 Julai lepas meliputi tiga daerah iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau.

“Laporan akan dibentangk­an dalam mesyuarat besar di UNESCO yang mungkin berlaku awal tahun depan, selepas itu barulah diumumkan sama ada negara mendapat gelaran sebagai UNESCO Global Geopark atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama pada jelajah penilaian akhir Kinabalu Geopark sebagai tapak UNESCO Global Geopark baru-baru ini.

Tongkul berkata kriteria paling utama dinilai pada peringkat global ialah kawasan diperkenal­kan itu mempunyai tapak-tapak geologi atau geotapak bernilai antarabang­sa.

“Ini yang kita cuba yakinkan iaitu kita memang ada (geotapak), contohnya tapak Gunung Kinabalu yang sangat unik di Asia Tenggara ini sudah menjadi sesuatu yang global,” katanya yakin Kinabalu Geopark mampu menjadi Geopark Global yang kedua di negara ini selepas Langkawi UNESCO Global Geopark.

Mengulas lanjut, beliau berkata kriteria lain yang turut mempengaru­hi penilaian termasuk pengurusan Kinabalu Geopark dan peruntukan mencukupi bagi menguruska­n geotapak agar terus terpelihar­a.

Menurutnya setakat ini terdapat 46 geotapak geologi telah dikenal pasti secara rasmi di Sabah namun negeri ini dipercayai mempunyai lebih daripada 100 geotapak yang mempunyai nilai warisan geologi yang masih belum diterokai.

Malah, katanya terdapat juga cadangan mewujudkan kawasan geopark di tempat lain antaranya di bahagian utara, timur atau tengah negeri Sabah sekiranya kawasan itu memenuhi syarat sebagai geotapak.

Sementara itu, sebagai penilai UNESCO, Powe berkata keputusan untuk mengangkat Kinabalu Geopark ke status global akan mengambil sedikit masa.

“Bukan kami yang membuat keputusan, namun kami telah merasai pengalaman dan membaca laporan, jadi kami bolah selaraskan apa yang kami lihat dalam laporan dengan apa yang kami lihat di lapangan. UNESCO akan mengambil sedikit masa untuk membuat keputusan, mungkin tahun depan,” katanya.

Powe mengakui beliau telah menempuh pengalaman hebat bukan sahaja berkaitan geotapak tetapi di seluruh wilayah tersebut, dari segi budaya dan alam semula jadinya.

Menurutnya mereka bukan sahaja berpeluang melawat lokasi tetapi juga bertemu penduduk, menyaksika­n warisan budaya dan merasai kepelbagai­an rasa makanan.

“Makanan di sini cukup hebat, saya sangat seronok dapat menikmati makanan dengan rasa berbeza-beza meskipun ia datang dari satu kawasan yang kecil dan saya sangat gembira berada di sini,” kata Powe.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Kitungou

di sini, Paul Imbun, 52, berharap Kinabalu Geopark akan diiktiraf sebagai tapak UNESCO Global Geopark yang secara tidak langsung dapat meningkatk­an pendapatan penduduk setempat dengan kehadiran ramai pelancong ke daerah itu.

Beliau berkata usaha itu akan memberi limpahan rezeki bukan sahaja kepada penduduk di Ranau tetapi daerah lain yang berdekatan dengan kawasan Kinabalu Geopark.

“Selain itu, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia setempat terutamany­a yang ada produk pelanconga­n kerana pelancong biasanya memerlukan jurupandu untuk ke laluan pendakian selain di kawasan geopark,” katanya.

Kinabalu Geopark diumumkan sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Mac 2020 merangkumi keluasan 4,750 kilometer persegi dengan mempunyai 46 geotapak, 12 biotapak, lapan perkampung­an budaya dan lapan tapak budaya serta tiga sekolah angkat, bagi melayakkan­nya disenarai sebagai calon UNESCO Global Geopark. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia