Utusan Borneo (Sabah)

Roti canai pelbagai warna beri kelainan kepada pengunjung

-

KUALA SELANGOR: Menikmati roti canai yang merupakan makanan sinonim masyarakat Malaysia di warung terletak di Kampung Sungai Yu di sini, tentunya memberi kelainan kepada pengunjung.

Mana tidaknya, pengusaha warung tersebut Dimyati Tualo, 61, mengetenga­hkan roti canai pelbagai perisa dan warna yang diadun menggunaka­n resepi ‘rahsianya’.

Bahkan, kedai yang terletak lebih 70 kilometer dari ibu negara itu dikenali sebagai Warung Roti Canai Pelangi kerana barisan doh tepung pelbagai warna terang yang disusun berselang-seli di atas meja bak pelangi sebelum ditebar dan dimasak.

Hidangan unik itu bukan sahaja mempunyai warna menarik seperti merah jambu, hijau, biru dan kuning tetapi jua turut berperisa strawberi, durian, epal, keladi dan jagung.

Berkongsi lanjut, anak jati Kuala Selangor itu berkata beliau mengambil masa kira-kira enam bulan untuk ‘bereksperi­men’ mendapatka­n resipi dan sukatan betul bagi memasukkan warna dan bahan perisa yang tepat ke dalam adunan.

“Mula-mula saya hanya letak pewarna sahaja, empat bulan kemudian saya mula bereksperi­men meletakkan bahan perasa pula.

“Penyesuaia­n sukatan bahan termasuk pewarna, perisa dan bancuhan air, termasuk suhu sesuai adalah aspek paling mencabar dan rumit bagi menjayakan resipi ini, tersalah bancuhan akan menyebabka­n keseluruha­n adunan rosak,” katanya kepada Bernama.

Penebar roti canai dengan 15 tahun pengalaman itu berkata perniagaan yang beroperasi 7 pagi hingga 12 tengah hari, itu secara purata menerima 300 pelanggan pada hari Selasa hingga Khamis dan boleh mencecah 1,000 pelanggan ketika beroperasi pada hujung minggu.

Katanya keunikan roti canai yang mula ditawarkan pada awal 2020 itu turut menjadi tarikan pelancong selain menjadi pilihan persinggah­an pasukan konvoi bermotosik­al yang melalui kawasan tersebut.

Menurutnya, sambutan memberangs­angkan pelanggan itu turut membuka peluang pekerjaan secara separuh masa kepada anakanak muda di kampung berhampira­n memandangk­an beliau memerlukan sehingga 16 pekerja bagi menyokong operasi.

Bapa kepada lima anak itu berkata beliau mengambil masa kira-kira empat jam untuk menyiapkan roti canai berharga RM1.50 itu, serta menggunaka­n hampir 10 guni tepung gandum untuk operasi lima hari seminggu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? UNIK: Dimyati menyiapkan doh tepung pelbagai warna ketika ditemui Bernama di warungnya di Kampung Sungai Yu di Kuala Selangor baru-baru ini. Warung tersebut mengetenga­hkan roti canai pelbagai warna seperti merah jambu, hijau, biru dan kuning dan berperisa strawberi, durian, epal, keladi dan jagung.
— Gambar Bernama UNIK: Dimyati menyiapkan doh tepung pelbagai warna ketika ditemui Bernama di warungnya di Kampung Sungai Yu di Kuala Selangor baru-baru ini. Warung tersebut mengetenga­hkan roti canai pelbagai warna seperti merah jambu, hijau, biru dan kuning dan berperisa strawberi, durian, epal, keladi dan jagung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia