Utusan Borneo (Sabah)

HUMS-Cardiff University jayakan intervensi ACT di Sabah

-

KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Cardiff University School of Psychology mengadakan intervensi Terapi Penerimaan dan Komitmen (ACT) untuk kesihatan ibu serta anak (Perinatal Health) bermula Jun sehingga Oktober depan.

Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Lasimbang berkata, intervensi yang merangkumi dua fasa itu melibatkan ibu mengandung serta staf HUMS dan dua buah klinik kesihatan.

“Fasa pertama merangkumi 25 kakitangan HUMS dan Klinik Kesihatan (KK) Sikuati yang telah menjalani latihan secara dalam talian melalui program yang dinamakan Training of Trainers baru-baru ini.

“Dalam fasa kedua, 250 ibu mengandung di KK Sikuati, KK Tamparuli, serta HUMS menerima intervensi ACT secara berkumpula­n selama 10 minggu bermula Ogos sehingga Oktober 2022,” katanya.

Helen berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.

Menurutnya, intervensi psikologi untuk ibu dan anak itu diadakan julung kalinya di Sabah yang dibuat secara besar-besaran.

“Projek intervensi ini juga adalah buat yang pertama kalinya ditawarkan di kawasan desa atau luar bandar di negeri ini.

“Ia selaras dengan salah satu bidang tujahan atau niche area HUMS iaitu healthcare uberisatio­n, yakni membawa perkhidmat­an kesihatan kritikal ke pesakit, bukannya menunggu pesakit datang ke hospital,” katanya.

Helen turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi merealisas­ikan program berkenaan.

“Setinggi penghargaa­n kepada dua pakar dari Cardiff University School of Psychology iaitu Dr. Cerith Waters dan Dr. Jennifer Berrett kerana bersama-sama dengan HUMS bagi menjayakan projek ini.

“Terima kasih juga kepada Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri dan Psikologi HUMS, Dr. Farahin Musa selaku pengelola projek.

“Sesungguhn­ya, adalah menjadi harapan HUMS untuk terus memainkan peranan dalam usaha memanjangk­an intervensi ini kepada kesemua perkhidmat­an ibu dan anak, tidak kira di bandar atau desa, mahupun di hospital atau di klinik desa,” katanya.*

 ?? ?? BINCANG: Antara kakitangan HUMS dan KK Sikuati yang mengikuti program Training of Trainers intervensi ACT fasa pertama.
BINCANG: Antara kakitangan HUMS dan KK Sikuati yang mengikuti program Training of Trainers intervensi ACT fasa pertama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia