Utusan Borneo (Sabah)

Rohana ditawarkan pengajian di UTeM

-

KUALA LUMPUR: Gadis yang kisahnya tular kerana ditinggalk­an ibu tanpa kerakyatan ketika masih bayi, bakal mencapai cita-citanya untuk melanjutka­n pengajian tinggi selepas menerima tawaran mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semalam.

Rohana, 22, menerima tawaran itu setelah mendapat taraf kewarganeg­araan dan kad pengenalan pada April lepas apabila kisah hidupnya tular menerusi media sosial sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rohana yang dijaga seorang bekas guru berbangsa Cina, Chee Hoi Lan, berkata beliau amat bersyukur atas peluang yang diberi dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat setempat.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak ucap terima kasih, sangat bersyukur dengan hadiah yang dikurniaka­n Allah kerana ini memang satu perkara yang saya impikan sejak lama.

“Terima kasih juga kepada pihak UTeM. Walaupun saya lebih meminati bidang perubatan, Sains Komputer ini adalah bidang pilihan kedua saya dan ‘laoshi’ (Chee) juga menyokongn­ya. Jadi, saya akan lakukan yang terbaik untuk membalas jasanya,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ibrahim Yaakob, Kampung Batu.

Rohana ditemui pemberita selepas menerima surat tawaran pengajian berkenaan daripada Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin di kediaman Chee di Batu 5, Jalan Ipoh di sini semalam.

Menurut Rohana, dia akan bertolak bersama Chee ke Melaka esok (hari ini) kerana pendaftara­n kemasukan ke program UTeM itu adalah pada Isnin.

Katanya dia masih melakukan beberapa persiapan kerana hanya dimaklumka­n mengenai tawaran itu pada Sabtu lepas sebelum disahkan semalam.

“Ada beberapa barangan keperluan belum dibeli dan saya juga sedang mencari pembantu rumah yang dapat menjaga laoshi (Chee) sepanjang ketiadaan saya.

“Kebelakang­an ini dia (Chee) sering menangis apabila mengenangk­an kami akan berjauhan jadi adalah lebih elok sekiranya ada orang temankan dia sekali-sekala di rumah sementara menunggu kepulangan saya pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Chee berkata ini adalah kali pertama dia akan berjauhan dengan Rohana dan berharap gadis itu dapat menjaga dirinya dengan baik sepanjang pengajian.

“Saya harap dia (Rohana) tidak lupakan saya. Kalau ada masa terluang baliklah sini tengok (jenguk) saya. Apabila habis belajar nanti, saya harap dia boleh jadi pakar Internet (teknologi maklumat),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia