Utusan Borneo (Sabah)

Bapa, dua anak maut kereta terbabas rempuh tiang flyover

- Oleh Vivi Olviana Najurus

KOTA KINABALU:

Tiga sekeluarga maut selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki terbabas sendiri seterusnya merempuh tiang laluan bertingkat (flyover) di Jalan Lintas Luyang di sini.

Kesemua mangsa maut masing-masing dikenal pasti sebagai Jimmykal Assam, 44 dan dua anaknya Sazfa, 11 serta Alkail, 16.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian jam 11.24 malam itu juga menyebabka­n seorang lagi anggota keluarga mengalami kecederaan parah.

“Siasatan awal kejadian mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari sebuah apartment di Rampayan menuju ke Lapangan Terbang

Antarabang­sa Kota Kinabalu (LTAKK) melalui Jalan Lintas.

“Semasa berada di Jalan Lintas berhampira­n simpang Klinik Luyang, kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tiang besar flyover berhampira­n,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, impak pelanggara­n menyebabka­n dua individu yang berada di bahagian penumpang belakang tercampak keluar manakala pemandu serta penumpang hadapan tersepit.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan pada jam 11.42 malam.

“Seorang lagi mangsa berumur empat tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan rapi di Zon Merah Hospital Queen Elizabeth (HQE),” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian disebabkan kecuaian pemandu yang membawa kenderaan secara melulu di permukaan jalan yang licin akibat hujan.

Bagaimanap­un katanya, kejadian masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.31 malam.

“Bertindak dengan maklumat sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi bagi melakukan operasi penyelamat­an.

“Pasukan bomba menjalanka­n operasi mengeluark­an mangsa tersepit di dalam kenderaan menggunaka­n peralatan khas,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi ditamatkan jam 12.43 tengah malam.

 ?? ?? REMUK: Kenderaan mangsa yang mengalami kerosakan teruk selepas kemalangan.
REMUK: Kenderaan mangsa yang mengalami kerosakan teruk selepas kemalangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia