Utusan Borneo (Sabah)

Guardiola tidak halang hasrat Silva untuk menyertai Barca

-

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak akan menghalang Bernardo Silva sekiranya dia ingin menyertai Barcelona sebelum jendela perpindaha­n tamat.

Guardiola berkata bekas kelabnya itu belum membuat tawaran untuk pemain tengah Portugal itu, namun dia tidak akan menyimpan Silva di Manchester di luar kehendakny­a.

Walaupun hutang sebanyak 1.3 bilion euro, Barcelona telah berbelanja mewah pada musim panas ini dan dilaporkan akan beralih perhatian kepada Silva sekiranya Frenkie de Jong meninggalk­an Camp Nou.

City telah pun membenarka­n Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko menyertai Arsenal dan menjual Raheem Sterling kepada Chelsea pada musim panas ini kerana ketiga-tiganya mahukan minit permainan yang lebih kerap.

Sebaliknya, Silva telah menjadi pemain penting dalam City dengan memenangi empat kejuaraan Liga Perdana dalam lima musim lalu dan sukar untuk diganti dalam minggu-minggu terakhir jendela perpindaha­n.

“Saya selesa bekerja dengan Oleks, Raheem, Gabriel, watak luar biasa yang membantu kami melakar pencapaian kami,” kata Guardiola pada sidang media pra-perlawanan­nya menjelang permulaan pertahanan gelaran Liga Perdana City di West Ham pada hari Ahad.

“Kadang-kadang demi kelab, kadang-kadang demi pemain, kadang-kadang demi ejen, kadang-kadang anda perlu membahagik­an laluan.

“Keinginan pemain ialah perkara yang paling penting. Sudah tentu saya mahu Bernardo untuk kekal di sini, dia seorang pemain istimewa untuk kami.

“Jika dia kekal, ia sempurna dan jika dia terpaksa pergi akhirnya, begitulah kerana bola sepak memang seperti ini, pemain mempunyai keinginan. Saya tidak akan menjadi orang yang menghalang kehendakny­a.”

Di sebalik pemergian dari Etihad, skuad City kelihatan lebih kuat daripada sebelumnya berkat kedatangan Erling Haaland yang memenuhi keperluan untuk penyerang semula jadi.

Bintang Norway itu membuat penampilan sulung yang perlu dilupakan pada hujung minggu lalu, terlepas peluang besar dalam kekalahan 1-3 kepada Liverpool dalam Perisai Komuniti.

Tetapi Guardiola menolak sebarang cadangan bahawa Haaland akan bergelut untuk menyesuaik­an diri dengan gaya penguasaan City.

“Dia menyesuaik­an diri dengan cara kami bermain dan kami akan menyesuaik­an diri dengannya,” tambahnya. “Ia akan memerlukan masa tetapi saya tidak ragu ia akan berlaku.”

Buat kali kedua dalam tempoh empat tahun, City menjuarai Liverpool dengan kelebihan satu mata pada musim lalu.

Sekali lagi perebutan sengit dijangka akan berlaku antara kedua-duanya.

Namun demikian, Tottenham dan Arsenal telah banyak melabur untuk cuba merapatkan jurang, manakala Chelsea dan Manchester United dijangka akan aktif pada minggu-minggu terakhir jendela perpindaha­n.

“Setiap tahun saya rasa musim lebih sukar,” kata Guardiola.

“Semua orang bertambah baik, setiap kelab, setiap pemilik melabur. Banyak pasukan melakukann­ya dengan baik, berkualiti dan pengurus-pengurus amat luar biasa.

“Sebab itulah ia mengujakan dan sebab itulah Liga Perdana adalah yang terbaik.”

 ?? ?? SILVA
SILVA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia