Utusan Borneo (Sabah)

Medvedev akan meneruskan persaingan seperti biasa pada kejohanan Siri Master Montreal

-

MONTREAL: Pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev berkata pada Isnin bahawa dia akan meneruskan persaingan seperti biasa pada kejohanan Siri Master Montreal walaupun dengan ketiadaan pencabar utamanya.

Juara di Los Cabos itu berlepas ke Kanada untuk mempertaha­nkan kejuaraann­ya tetapi pemain pilihan pertama kejohanan itu tidak akan bersemuka dengan Novak Djokovic, yang terus enggan mengambil vaksin COVID19, salah satu antara syarat kemasukan ke Kanada.

Dan Rafael Nadal menarik diri sebelum kejohanan kerana kecederaan yang dialaminya di Wimbledon kembali semasa latihan di Sepanyol.

Ketiadaan Roger Federer juga sudah dijangka dengan bintang tenis veteran dari Switzerlan­d, yang mencecah usia 41 tahun pada Isnin, masih menjalani pemulihan dari pembedahan lutut tahun lepas.

Bagi Medvedev, ia adalah urusan seperti biasa dalam gelanggang.

“Jika tiga pemain utama beraksi, mereka adalah pilihan utama dengan serta-merta,” katanya.

“Mereka memenangi banyak kejohanan – hampir semua kejohanan yang mereka sertai - jadi ia tidak mengejutka­n apabila kami menjadikan mereka pilihan juara.

“Bagi saya, ia tidak banyak berubah jika mereka bermain atau tidak – sasaran saya ialah memenangi kejohanan. Tidak kira siapa yang saya hadapi, saya hanya mahu memenangi perlawanan.”

Medvedev juga tidak secara pasti akan menang jika berdepan dengan tiga pemain hebat itu.

“Saya tidak pernah menewaskan Roger, saya menewaskan Rafa sekali dan saya menewaskan Novak beberapa kali,” katanya.

“Ia memberikan rasa yang sangat istimewa, memberikan banyak keyakinan dengan menewaskan pemain seperti mereka.”

Medvedev memenangi kejuaraan pertamanya musim ini di Mexico Ahad lalu apabila menewaskan Cameron Norrie dari Britain 7-5 dan 6-0 di final. Dia akan memulakan kejohanan di Montreal di pusingan kedua, menanti pemenang di antara juara di Washington minggu lepas, Nick Kyrgios atau Sebastian Baez.

Perlawanan pada hari pertama bermula lewat empat jam kerana hujan, dengan Stanislas Wawrinka memulakan jadual.

Pemain berusia 37 tahun itu, kecundang awal apabila tewas kepada pemain Finland, Emil Ruusuvuori 6-3, 3-6 dan 6-3.

Dengan kemenangan itu, Ruusuvuori akan bertemu pilihan kelapan dari Poland, Hubert Hurkacz.

Menewaskan Wawrinka, yang pernah melangkah sehingga ke separuh akhir di sini pada 2019, pada pertemuan pertama memberikan kegembiraa­n kepada Ruusuvuori, yang melakukan 20 pukulan kemenangan.

“Saya meletakkan kemenangan ini di tahap paling tinggi,” katanya. “Saya membesar melihat Stan bermain. Dia masih mempunyai kualiti. Saya sangat menghormat­inya kerana dia seorang lawan yang sukar.”

 ?? ?? MEDVEDEV
MEDVEDEV

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia