Utusan Borneo (Sabah)

Tajaan pengajian percuma di universiti mampu ubah nasib keluarga miskin

-

KUALA LUMPUR: Penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti seperti dicadangka­n Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilihat mampu mengubah nasib golongan berkenaan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagai­an Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad berkata keberhasil­an program seperti itu boleh dilihat pada tahun 70-an apabila kerajaan berjaya membantu golongan itu melalui beberapa program seperti asrama, biasiswa dan pinjaman.

“Pada tahun 70-an program-program sebegini mampu membuka peluang yang luas kepada anak-anak golongan ini. Ramai daripada mereka (yang telah dibantu) cemerlang dalam pendidikan dan telah mengubah nasib mereka dengan menjadi kumpulan profesiona­l mempunyai pendapatan yang lebih baik.

“Dasar ini sekiranya berjaya dibentang dan dilaksanak­an sudah pasti memberi impak yang besar bukan sahaja kepada golongan tersebut malah kepada negara juga dalam merapatkan jurang kemiskinan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam melaksanak­an dasar ini, kerajaan perlu memastikan definisi golongan miskin mana yang perlu ditaja kerana terdapat bermacamma­cam bentuk dan kategori kemiskinan di negara ini.

“Perlu penelitian daripada KPT (Kementeria­n Pendidikan Tinggi) kerana kita tidak mahu pelaksanaa­n dasar ini kelak akan membuka ruang kritikan kepada penganjura­n program ini.

“Diharap KPT mempunyai garis panduan yang jelas bagaimana pelaksanaa­n penajaan ini dan mesti ada definisi, kerangka serta penjelasan bagi mereka yang layak dalam proses pemilihan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata dengan penawaran program tersebut, pembentuka­n modal insan dalam kalangan golongan miskin dan B40 akan dapat direalisas­ikan secara menyeluruh.

Beliau berkata program itu akan memberi ruang kepada pelajar terlibat untuk akses kepada pendidikan dan pengetahua­n yang melaluinya akan mengeluark­an golongan itu dan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Penawaran program ini sudah semestinya akan membantu terutamany­a keluarga miskin dan B40 agar mendapat peluang pendidikan yang sama seperti golongan masyarakat yang lain di Malaysia.

“Dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara, program ini dilihat mampu dilaksanak­an dengan sekurang-kurangnya memberikan bantuan pembiayaan yuran pendidikan secara percuma bagi golongan ini,” katanya.

Bagaimanap­un, ia bergantung kepada jumlah keseluruha­n penerima dan implikasi kewangan negara yang akan terlibat, katanya.

Beliau berkata program itu merupakan rentetan daripada pengenalan Program Pembanguna­n Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) sebelum ini yang kedua-dua program berkenaan mempunyai ciri persamaan yang tertumpu kepada keluarga miskin atau B40.

Pada 30 Jan lepas, Mohamed Khaled mengumumka­n akan memperkena­lkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti dan mekanisme dan dasar tersebut akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar berterusan kerajaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia