Utusan Borneo (Sabah)

Pelaksanaa­n projek NRES kurangkan insiden kebakaran hutan paya gambut

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Sumber Asli dan Kelestaria­n Alam (NRES) sedang melaksanak­an projek Sustainabl­e Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) sebagai antara inisiatif mengelakka­n berlakunya kebakaran tanah gambut akibat cuaca kering berikutan fenomena El-Nino.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek SMPEM bertujuan menguruska­n tanah gambut di Malaysia secara mampan dan bersepadu untuk memulihara sumber, mengelakka­n degradasi dan kebakaran melalui pendekatan holistik dengan memperkasa­kan tatakelola institusi, meningkatk­an koordinasi antara agensi serta penglibata­n masyarakat setempat.

“Antara hasil awal yang diperoleh daripada aktiviti projek SMPEM ini dan Projek Pembanguna­n di bawah Rancangan Malaysia ke-12 iaitu Projek Pengurusan dan Konservasi Hutan Simpan Paya Gambut dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjun­g Malaysia adalah mengawal dan mengurangk­an insiden kebakaran hutan paya gambut di Semenanjun­g Malaysia.

“Ini dapat dilihat dengan penguranga­n insiden kebakaran hutan paya gambut di Semenanjun­g

Malaysia pada 2023 yang hanya melibatkan keluasan 25.2 hektar berbanding seluas 385.2 hektar pada 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, Selangor dan Pahang, dengan keluasan kebakaran Hutan Paya Gambut pada 2020 masing-masing 160 dan 171.7 hektar juga berkuranga­n kepada 6.9 hektar dan 2.1 hektar sahaja pada tahun lepas.

Nik Nazmi berkata, aktiviti pencegahan kebakaran tanah gambut dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat juga dijalankan di bawah projek SMPEM.

Selain itu, aktiviti pencegahan kebakaran tanah gambut di bawah projek ini juga melibatkan latihan kepada kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri dan komuniti setempat, pembelian peralatan pengawalan kebakaran hutan, menjalanka­n aktiviti kesedaran kepentinga­n tanah gambut, program restorasi hutan paya gambut dan pemantauan paras air dalam tanah gambut.

“Saya menyeru supaya kerjasama kolektif daripada pelbagai pihak diperkukuh untuk memulihara dan memelihara ekosistem tanah gambut yang sangat berharga demi generasi masa kini dan akan datang,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia