Utusan Borneo (Sabah)

F1: Ferrari perkenalka­n jentera baharu SF-24

-

MILAN: Pasukan Formula Satu (F1) Ferrari memperkena­lkan kereta baharu mereka, SF-24 pada Selasa, bersedia untuk musim baharu F1 yang akan menjadi musim terakhir sebelum Lewis Hamilton menyertai pasukan gergasi dari Itali itu.

Pasukan akan memulakan kempen 2024, yang diselubung­i dengan pengumuman persetujua­n Hamilton, juara dunia tujuh kali untuk menyertai Ferrari pada tahun hadapan dari pasukan Mercedes, dan akan cuba merapatkan jurang saingan dengan Red Bull.

Dan Ferrari memperkena­lkan SF-24 kepada peminat mereka dengan satu video dalam majlis ringkas, sambil menambah dalam satu kenyataan bahawa “sekumpulan kecil kehadiran tetamu” dapat melihat kereta baharu secara langsung.

Antara mereka yang hadir adalah pengurus pasukan Ferrari, Frederic Vasseur dan dua pemandu Charles Leclerc dan Carlos Sainz, yang akan berganding­an buat kali terakhir musim ini.

Ferrari berkata bahawa “pandangan positif pemandu dalam kokpit dalam beberapa perlumbaan terakhir” adalah titik permulaan untuk kereta baharu, dengan sasaran menjadi “sebuah kereta yang mudah untuk dipandu dan bertindak seperti yang dijangkaka­n”.

“Tahun ini, kami harus bermula dari mana kami berakhir pada akhir musim lepas, apabila kami cukup konsisten di kelompok hadapan,” kata Vasseur.

“Musim F1 paling lama menanti kami dan Charles, Carlos dan saya semua bersetuju bahawa kami harus lebih berkesan dan fokus dalam bagaimana kami menguruska­n perlumbaan.”

Musim baharu dengan 24 perlumbaan akan bermula di Bahrain pada 2 Mac dengan Ferrari masih belum memenangi kejuaraan kategori pemandu sejak 2007 dan kategori pengeluar sejak 2008.

Ferrari menamatkan saingan begitu jauh di belakang Red Bull dalam kedua-dua kategori pada tahun lepas, dengan Leclerc menamatkan musim dengan ketinggala­n 369 mata di belakang juara dunia, Max Verstappen di tangga kelima sementara Sainz di kedudukan ketujuh.

“Saya sangat menyukai kereta ini... tetapi sudah tentu apa yang benar-benar menarik perhatian saya ialah bagaimana prestasiny­a dalam litar, kerana itu adalah apa yang penting,” kata Leclerc.

“Musim ini, sasarannya ialah untuk menjadi pesaing kelompok hadapan sepanjang masa dan saya mahu memberikan penyokong kami banyak keceriaan.”

Hamilton akan berganding­an dengan Leclerc apabila dia menyertai Ferrari - dan menggantik­an Sainz di mana kontraknya akan tamat pada akhir musim ini - dengan harapan dia akhirnya mencipta rekod baharu memenangi kejuaraan dunia buat kali kelapan.

Pemandu berusia 39 tahun itu memenangi kejuaraan dunia terakhirny­a pada 2020 tetapi tewas saingan kejuaraan 2021 dengan penuh kontrovers­i kepada Verstappen.

Verstappen menguasai kejuaraan dunia sejak itu, memenangi dua kejuaraan dunia terakhir dengan kombinasi kereta dan pemanduan yang hebat.

Hamilton menamatkan saingan musim lepas di tangga ketiga keseluruha­n dan gagal memenangi sebarang perlumbaan buat tahun kedua berturut-turut.

Dia ketinggala­n 341 mata di belakang Verstappen yang memenangi 19 dari 22 perlumbaan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia