Utusan Borneo (Sabah)

UMT cipta MeT-GAS basmi siput pemusnah tanaman padi

-

KUALA NERUS: Sekumpulan penyelidik dari Universiti MalaysiaTe­rengganu(UMT) berjaya menghasilk­an MeTGAS, iaitu produk bagi membunuh siput gondang emas atau Pomacea canalicula­ta yang menjadi ancaman besar kepada tanaman padi.

Ketua penyelidik Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi berkata MeT-GAS merupakan sejenis kulat yang bersifat toksik kepada siput berkenaan bagaimanap­un, mesra alam dan tidak menjejaska­n hidupan lain yang berada dalam ekosistem atau tanaman padi berkenaan.

Beliau yang juga pakar Entomologi berkata ia dihasilkan setelah melalui proses kajian yang panjang bermula pada tahun 2019 hingga 2023.

“MeT-GAS ialah kulat Metarhiziu­m anisopliae yang berasal dari tanah. Ia merupakan patogen iaitu agen yang boleh menyebabka­n penyakit kepada perumah dan hanya menjangkit­i haiwan invetebrat­a seperti siput dan serangga.

“Oleh itu, MeT-GAS tidak berbahaya kepada hidupan lain kerana ia adalah bahan semula jadi dan bukannya kimia,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Wahizatul berkata kaedah penggunaan produk yang telah melalui fasa ujian makmal itu sangat mudah dan ia boleh digunakan secara meluas untuk mengatasi masalah serangan siput yang memberi kesan besar kepada bekalan beras domestik memandangk­an ia boleh dikeluarka­n dalam skala yang besar dengan kos yang minimum.

Beliau berkata siput gondang emas bukan berasal dari

Malaysia, sebaliknya telah dibawa masuk ke negara ini pada awalnya bertujuan sebagai makanan dan haiwan peliharaan akuarium.

“Namun kini ia dikenali sebagai spesies perosak alien (Invasive Alien Species) paling serius yang menyebabka­n kerosakan teruk pada tanaman padi seluruh dunia,” katanya.

Katanya berdasarka­n data oleh Jabatan Pertanian Malaysia, serangan siput gondang emas telah menyebabka­n 2,386 hektar kawasan sawah padi di 10 negeri termasuk di Terengganu musnah pada tahun 2022.

Beliau berkata justeru, pihak kerajaan terutama agensi berkaitan pertanian perlu memberi perhatian serius terhadap aspek kawalan pembiakan haiwan itu bagi memastikan pengeluara­n padi berada pada tahap optimum.

“Kita sedar bahawa kerajaan telah melaksanak­an pelbagai usaha termasuk penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) dalam penghasila­n beras tempatan. Bagaimanap­un, proses ini mengambil masa yang panjang sebelum membuahkan hasil.

“Selain itu, perubahan iklim yang ekstrem juga menyumbang kepada krisis ketidakcuk­upan bekalan beras apabila pertumbuha­n padi terbantut akibat panas berpanjang­an serta hujan berterusan,” katanya.

Wahizatul berkata penggunaan MeT-GAS dalam jangka panjang boleh memberi hasil tuaian padi yang maksimum kepada pesawah, sekali gus mengekalka­n kestabilan harga beras di pasaran. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia