Utusan Borneo (Sabah)

150 kanak-kanak asnaf, mualaf sertai khatan beramai-ramai

- Oleh Kenneddy Corlleus

KOTA KINABALU: Seramai 150 kanak-kanak daripada golongan asnaf dan mualaf di sekitar daerah ini memanfaatk­an cuti sekolah dengan menyertai program berkhatan beramai-ramai yang diadakan di Masjid Negeri Sabah.

Program berkhatan itu anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Sabah.

Acara perasmian disempurna­kan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam kemudian disusuli dengan perarakan oleh peserta sambil berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW.

Selepas diraikan, peserta berusia dari lapan hingga 12 tahun melalui proses berkhatan yang dilaksanak­an sepasukan pembantu perubatan yang melibatkan kira-kira seramai sembilan orang.

Ruslan berkata, acara berkenaan adalah program tahunan pihak penganjur bagi meringanka­n beban ibu bapa kanak-kanak terlibat yang terdiri dari golongan asnaf dan mualaf.

“Ini adalah salah satu usaha pihak penganjur untuk meringanka­n beban ibu bapa kanak-kanak daripada golongan asnaf dan mualaf dari sekitar kawasan ini, memandangk­an kos berkhatan agak tinggi.

“Program ini juga terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira agama kerana amalan berkhatan yang diwajibkan dalam Islam terbukti menjamin kebersihan dalaman dan luaran,” katanya.

Dalam pada itu Ruslan berkata, kajian pakar perubatan membuktika­n amalan berkhatan dapat mengelakka­n jangkitan kuman pada saluran kencing yang kerap dihidapi kaum lelaki terutamany­a kanak-kanak.

Jelasnya, kanak-kanak di bawah usia setahun yang berkhatan khususnya bayi adalah 10 kali ganda lebih rendah menghidapi risiko jangkitan itu berbanding mereka yang tidak berkhatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia