Utusan Borneo (Sabah)

‘Fear of missing out’ boleh beri impak positif dalam era digital: Fahmi

-

KUALA LUMPUR: ‘Fear of Missing Out’ (FOMO) atau rasa bimbang kerana menganggap diri telah ketinggala­n dalam pelbagai aspek berbanding orang lain yang kerap kali dianggap sebagai sesuatu yang negatif, sebenarnya boleh juga dilihat dari sudut positif, terutamany­a dalam mengharung­i kepesatan era digital hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata apabila seseorang mempunyai perasaan FOMO, mereka akan lebih cenderung untuk cepat bertindak mencari maklumat mengenai sesuatu perkara, sekali gus menjadikan seseorang itu lebih peka terhadap isu-isu semasa yang penting.

Mengambil contoh pengalaman peribadiny­a ketika bermulanya wabak COVID19, Fahmi berkata ketika itu beliau berada di London dan terbaca berita mengenai ‘penyakit tidak dikenali’ muncul di Wuhan, China.

“Bagi saya kalau kita tak jadi terlalu ‘obsess’ (taksub), itu boleh kita anggap sebagai yang positif. Kalau kita tahu apa yang sedang berlaku sekarang, sekurang-kurangnya kita tahu, kalau benda itu bahaya contohnya COVID19. Kalau orang yang FOMO, dia akan cepat-cepat nak tahu ini wabak apa.

“Bagi saya kalau kita jadi tak terlalu obses, itu adalah benda yang boleh kita anggap sebagai positif,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program ‘Ini Kopi Kita - Sembang Anak Malaysia’ dengan topik FOMO terbitan Jabatan Penerangan (JaPen) yang disiarkan di Facebook rasminya semalam.

Selebriti dan usahawan terkenal Nur Fazura Sharifuddi­n atau lebih dikenali sebagai Fazura turut menjadi tetamu dalam episod pertama program sembang santai yang berlangsun­g kira-kira 30 minit itu.

Program bual bicara enam episod berdurasi 30 hingga 45 minit itu terbahagi kepada tiga segmen utama - Tentang Kita, Korang Tanya dan Slot Richiamo dengan kerjasama JaPen bersama-sama Jabatan Pendidikan Tinggi dan Richiamo Coffee Sdn Bhd.

FOMO adalah perasaan yang banyak dialami orang ramai terutama generasi muda yang digambarka­n sebagai perasaan tidak ingin tertinggal atau takut tertinggal trend terbaharu, dan antara pencetus FOMO adalah hantaran (posting) dan kemas kini oleh orang lain di media sosial.

Istilah FOMO pertama kali diperkenal­kan oleh Patrick J. McGinnis, seorang penulis dari Amerika Syarikat pada 2004 dan sering digunakan sejak 2010.

Bagaimanap­un, Fahmi berkata perasaan takut tertinggal juga boleh menjurus kepada keadaan negatif pada kesihatan mental seperti menimbulka­n perasaan ketegangan diri hingga depresi.

Sehubungan itu beliau menegaskan penting untuk mengetahui batasan penggunaan media sosial dan alat telekomuni­kasi (gadget), serta mempunyai nilai jati diri daripada terikut-ikut dengan trend atau gaya mewah dipaparkan oleh sesetengah pempengaru­h yang belum tentu keaslianny­a, mungkin disebarkan demi ‘content’ (kandungan) semata-mata.

Mengulas mengenai individu yang mempunyai perasaan ‘Joy of Missing Out’ (JOMO) terhadap sesetengah perkara terutamany­a dalam isu Palestin, Fahmi berkata seseorang itu tidak boleh berdiam atau bersikap neutral dalam sesetengah perkara kerana ia seolah-seolah menunjukka­n mereka bersetuju dan menghalalk­an apa yang berlaku di Palestin sejak 7 Okt tahun lepas.

“Saya ingat lagi semasa konflik (Israel-Palestin) ini bermula, ramai pemimpin barat yang memihak kepada Israel, tapi kerajaan melalui Menteri Luar, Perdana Menteri, dalam banyak interaksi (bersama-sama) pemimpin-pemimpin negara lain, alhamdulil­lah dalam tempoh beberapa bulan, banyak negara-negara ini berubah pandangan.

“Kalau kita tidak lakukan, siapa yang akan lakukan. Kalau tidak ada siapa yang lakukan maka kita semua bagi saya terjerumus dalam satu gaung, bagi saya itu sesuatu yang buruk. Kita perlu lakukan sesuatu,” katanya.

Sementara itu, Fazura yang turut senada berkata media sosial perlu digunakan secara berhemah dan aspek keselamata­n perlu diambil kira dengan tidak sembaranga­n memuat naik kandungan kehidupan peribadi yang dikhuatiri akan mendatangk­an kemudarata­n.

“Jadilah penyumbang, apa sahaja hantara kita itu, biarlah yang penting. Jadilah penyumbang positif, keamanan, jangan jadi penyebab (kepada) perbalahan, kita kena buat yang baik. Kawal diri dan fikir banyak kali sebelum buat hantaran di media sosial,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia