Utusan Borneo (Sabah)

Rafizi selesai jalani pembedahan tulang belakang, kembali bertugas bulan depan

-

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semalam memaklumka­n beliau baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang dan akan menjalani rawatan di hospital bagi tempoh dua minggu lagi sebelum dijangka kembali bertugas bulan depan.

Berkongsi mengenai perkembang­an kesihatann­ya di laman X (Twitter) semalam, Rafizi berkata sebelum itu beliau telah disahkan mempunyai masalah stenosis, yakni kewujudan tekanan dari slipped disc dan ligamen yang memegang tulang belakang, sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjang­an.

“Alhamdulil­lah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik, dan saya telah boleh berjalan semula,” kata beliau, yang mengucapka­n terima kasih kepada kumpulan pakar merawatnya.

“Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi, seperti masalah kesihatan, tetapi saya juga tahu ada kawankawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaika­n kepada mereka yang ambil tahu,” katanya.

Terdahulu hantaran di Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, memaparkan kunjungan beliau yang menziarahi Rafizi di sebuah hospital, menimbulka­n tanda tanya mengenai keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pandan itu yang pernah mengalami serangan jantung pada Okt lepas.

Mengulas punca masalah tulang belakang yang dihadapiny­a, Rafizi berkata beliau dijangkiti COVID-19 buat kali pertama pada minggu ketiga bulan ini dan terlantar beberapa hari, sekali gus menyebabka­n tekanan ke atas tulang belakang sehingga berlaku slipped disc.

“Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggaka­n saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunaka­n kerusi roda. Sakitnya memang ke langit,” katanya.

Rafizi pada masa sama memaklumka­n beliau juga akan kembali bersiaran pada siri audio siar Yang Bakar Menteri (YBM) pada Mac, malah terbuka untuk bersemuka dengan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil dan MT UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menawarkan diri untuk bertemunya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia