Utusan Borneo (Sabah)

Dua rakan dipenjara seumur hidup edar Methamphet­amine

-

KUALA LUMPUR: Dua rakan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar 305.1 gram dadah jenis Methamphet­amine, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhka­n hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulka­n keraguan munasabah terhadap Lee Chuen Hoe, 44; dan Chen Kok Kwong, 59; di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah mendapati dadah tersebut berada di bawah jagaan dan kawalan tertuduh pertama (Lee) serta tertuduh kedua (Chen) dan mereka mengetahui tujuan dadah tersebut (untuk diedar). Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

“Tertuduh pertama (Lee) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan manakala tertuduh kedua (Chen) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 21 Jun 2021,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Selain itu, Hakim Muhammad Jamil melepaskan dan membebaska­n tertuduh ketiga, So Hoong Piau, 29, daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulka­n keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa atas pertuduhan bersama-sama mengedar dadah itu di hadapan pusat rawatan, Ling Chiropract­ic Care, Jalan

Perkasa, Aked Esplanad di Bukit Jalil, pada 6.20 petang, 21 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman mati.

Pada tahun lepas, mahkamah memerintah­kan tiga rakan itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktika­n kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Perbicaraa­n kes di peringkat pendakwaan bermula 13 Mac 2023 dengan enam saksi memberi keterangan manakala perbicaraa­n di peringkat pembelaan pada 5 Dis 2023 membabitka­n tujuh saksi memberi keterangan termasuk tiga tertuduh itu.

Terdahulu, peguam Syaheera Rosli mewakili Lee memohon hukuman pemenjaraa­n memandangk­an hukuman gantung sampai mati telah dimansuhka­n selain anak guamnya memberikan kerjasama yang baik sepanjang prosiding kes itu.

Peguam Manveer Singh mewakili Chen memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang rendah atas faktor umur selain dia perlu menanggung ibunya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed pula memohon kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman mati dengan mengambil kira kepentinga­n awam melebihi kepentinga­n tertuduh serta keseriusan kesalahan itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia