Utusan Borneo (Sabah)

Beri ruang golongan muda main peranan penting

-

KUALA PENYU: Golongan muda perlu diberi ruang menjadi pemain penting dalam pembanguna­n, politik serta ekonomi di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat berkata, generasi lama perlu memberi kerjasama membantu golongan muda dalam mencorakka­n masa depan negara.

Sehubungan itu katanya, UMNO Bahagian Beaufort turut memberikan keutamaan untuk mendekati golongan muda kerana mereka adalah aset utama pembanguna­n negara pada masa akan datang.

“Sebahagian daripada pendekatan kita sebelum ini mungkin sudah tidak relevan dengan keadaan semasa. Sudah tiba masanya kita ke hadapan dengan membuka seluas-luasnya peluang kepada generasi pelapis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Penutupan Pertanding­an Bola Tampar Campuran anjuran Wanita UMNO Bahagian Beaufort dengan kerjasama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tenambak dekat sini kelmarin.

Awang Aslee yang juga Pengerusi Penasihat Pusat Giat MARA Parlimen Beaufort berkata, tidak kira sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bidang ekonomi mahupun politik, peredaran masa harus disertai dengan idea maju dan perubahan cara kerja.

“Persada politik umpamanya, memerlukan golongan muda sebagai pencetus pembaharua­n yang nyata. Kita mesti berhenti memandang golongan belia hanya sebagai pengganti kepada generasi lama.

“Mereka seharusnya menjadi pemain penting di persada politik negara pada waktu muda mereka. Justeru, golongan ini perlu diberikan pendedahan awal,” katanya.

Menurutnya, golongan muda perlu diterapkan dengan budaya politik sihat dan UMNO adalah wadah politik yang sesuai menjadi platform bagi golongan itu berkecimpu­ng dalam bidang politik.

Beliau berkata, UMNO bukan sahaja membuka ruang sepenuhnya kepada golongan muda menampilka­n bakat serta ketokohan mereka.

“Malah, UMNO mempunyai struktur organisasi yang lengkap untuk mereka mengembang­kan potensi serta bakat kepimpinan sedia ada.

“Janganlah pilih parti politik yang wadah perjuangan­nya terlalu sempit malah ada parti politik yang rasis ‘anti Malaya’ yang tidak sesuai dengan konsep Kerajaan Perpaduan serta mengekang usaha untuk melestarik­an konsep integrasi nasional,” jelasnya.

Awang Aslee berharap agar golongan belia mempersiap­kan diri dengan ketahanan yang kukuh, memiliki anjakan paradigma dengan memupuk ciri-ciri yang mampu memperkuat­kan daya tahan mereka.

“Jati diri yang kuat dan kukuh mampu membantu belia membina benteng pertahanan diri daripada pelbagai unsur yang tidak sihat.

“Ketahanan diri yang jitu juga mampu membuat belia bingkas bangkit melawan kesukaran atau kepayahan yang mereka alami sepanjang menempuh alam remaja yang begitu mencabar,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Jaludin Abdul Kadir; Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort Norjanah Saban; Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort Abdul Rahman Mohd Taib; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Ak. Mohd Yazri Ak. Mohd Yahya; dan Ketua Puteri Munira Sarie.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia