Utusan Borneo (Sabah)

Polis: Tiada usaha hidupkan kembali ajaran Ayah Pin

-

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu setakat ini tidak mengesan sebarang petunjuk atau usaha untuk menghidupk­an semula ajaran Ayah Pin yang difatwakan sesat pada 1997 itu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata menerusi tinjauan pihaknya di Kampung Batu 13, Hulu Besut baru-baru ini, didapati tiada aktiviti mencurigak­an dijalankan oleh 124 orang penduduk di perkampung­an itu yang terdiri daripada ahli keluarga dan saudara-mara Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad.

“Secara kasarnya, kami masih tidak kesan apa-apa. Cuma baru-baru ini mereka ada berkumpul buat macam doa selamat, jadi mungkin apabila berkumpul itu dikatakan nak hidupkan semula ajaran ini.

“Memang kami ada terima maklumat dan pemantauan berterusan sentiasa dibuat bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Tiada kompromi dan akan pastikan perkara ini tidak akan berulang lagi. Kalau ada kesalahan maka kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mazli berkata, pihak polis telah merakam keterangan seorang wanita yang membuat laporan di Pahang mengatakan ajaran sesat itu cuba dihidupkan kembali manakala pihaknya masih dalam pertimbang­an sama ada hendak merakam keterangan pemilik akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ yang turut mendakwa perkara sama.

“Polis mengalu-alukan segala maklumat dan bukti daripada orang ramai berhubung perkara ini. Pada masa sama, diingatkan untuk tidak membuat kenyataan yang belum disahkan lagi dan tidak membesarka­n isu ini yang masih dalam siasatan pihak berwajib,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia