Utusan Borneo (Sarawak)

Penganggur lelaki menyamar sebagai polis ditahan

-

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang penganggur lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis akhirnya memakan diri apabila ditahan di Balai Polis Nusa Bestari di Iskandar Puteri, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Noor Hashim Mohamad berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan selepas datang ke balai berkenaan dan mendakwa ingin menunggu seorang rakan.

Lelaki itu turut memperkena­lkan diri sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dangi Wangi di Kuala Lumpur yang berpangkat Deputi Superinten­dan (DSP).

Noor Hashim berkata curiga dengan tindak-tanduk suspek, seorang anggota polis meminta lelaki berkenaan mengeluark­an kad kuasa polis namun suspek berdolak-dalik dengan memberi pelbagai alasan, sebelum terus bergerak menuju ke tandas.

“Sebaik sahaja suspek keluar dari tandas dan hendak menuju ke arah kereta yang diletakkan di depan balai, beberapa anggota polis telah menahannya,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaa­n ke atas tubuh dan kereta Perodua Alza yang dinaikinya, polis merampas seutas gari bersama sarungnya, dua telefon bimbit, beg silang, satu cota besi boleh laras, sekeping pelekat lambang Polis Diraja Malaysia ( PDRM) serta serangkai kunci bersama alat kawalan jauh.

Noor Hashim berkata semakan lanjut mendapati suspek masih bujang, tiada rekod jenayah lampau dan negatif saringan ujian air kencing.

Bagaimanap­un, suspek dipercayai menyamar untuk tujuan memudahkan lagi berurusan dengan polis dan memperdaya­kan orang lain.

Polis akan memohon tahanan reman ke atas suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. — Bernama KUALA KLAWANG: Bekas pemain gitar kumpulan Kristal, Hairyfitri Ahmad, 33, maut apabila motosikaln­ya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Km30, Jalan Kuala Klawang- Genting Peres dekat sini pagi semalam.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu tadbir meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Ampang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Othman Basri berkata dalam kemalangan jam 10.55 pagi itu, motosikal Yamaha LC135 mangsa dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentang­an sebelum berlanggar sebuah Perodua Viva yang datang dari arah Kuala Klawang menghala Genting Peres.

“Mangsa tercampak ke atas jalan, manakala pemandu kereta tersebut iaitu seorang guru wanita berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Othman berkata Hairyfitri dihantar ke hospital oleh rakan-rakannya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia