Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan perlu berani ubah suai legasi yang merugikan rakyat

-

ARAU: Kerajaan hari ini mesti berani mengubah suai legasi kerajaan terdahulu yang tidak lagi relevan dengan keadaan semasa yang merugikan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Sambil merujuk kepada Perusahaan Otomobil Nasional ( Proton), beliau berkata industri automotif pada alaf baharu sangat kompetitif dan mendorong banyak syarikat dalam bidang berkenaan untuk bergabung.

“Kita bangga Malaysia memasuki industri automotif tetapi keadaan sekarang sangat berbeza. Kita tidak lagi kompetitif malah kerajaan terpaksa memberi subsidi berbilion ringgit untuk memastikan Proton tidak gulung tikar.

“Wang subsidi itu sepatut- nya digunakan untuk tujuan yang memanfaatk­an rakyat,” kata Annuar kepada pemberita selepas memberi ceramah pada Program Penerangan Pemimpin Bersama Akar Umbi peringkat negeri di sini, semalam.

Turut hadir pada program jelajah siri ketiga itu ialah pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Annuar berkata beliau sendiri membuat gesaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya legasi negatif tidak kira oleh sesiapapun yang tidak lagi sesuai atau memberi kesan positif kepada rakyat hendaklah diubah suai.

“Kita tidak mampu berterusan menanggung Proton kerana wang rakyat digunakan untuk menyelamat­kan satu model perniagaan yang sepatutnya memilih penggabung­an,” katanya.

Annuar berkata kos penswastaa­n yang menjadi bebanan juga harus dikaji semula supaya rakyat tidak dibebankan dengan cukai kelak.

Katanya, pihak-pihak tidak bertanggun­gjawab yang memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa Menara Kembar Petronas boleh diruntuhka­n bagi menghapusk­an legasi Tun Dr Mahathir adalah tidak benar.

“Pembangkan­g memutarbel­itkan kenyataan Salleh dengan memetik sebahagian sahaja kenyataan beliau sedangkan menteri berkenaan tidak langsung bermaksud mahu meruntuhka­n KLCC,” jelasnya.

Beliau mahu pemimpin akar umbi dan jentera penerangan UMNO melengkapk­an diri dengan pengetahua­n supaya tidak terpengaru­h dengan persepsi yang tidak benar.

“Kerja pembangkan­g mudah sahaja. Mereka cari salah kerajaan untuk menyerang dan kita terpaksa memberi penerangan untuk membetulka­nnya,” kata Annuar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia