Utusan Borneo (Sarawak)

Waspada dengan ‘kudis’ dalam UMNO: Idris Haron

-

MELAKA: Kepimpinan tertinggi UMNO di semua peringkat termasuk akar umbi diminta berwaspada dengan segelintir anggota parti yang diumpamaka­n ‘kudis’ kerana mereka boleh merosakkan seluruh jentera UMNO sekiranya tidak dirawat dengan baik.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata anggota parti, yang dilihat mempunyai niat negatif terhadap UMNO, perlu disisihkan segera agar tidak memberi kesan pada pergerakan jentera parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ada individu di dalam UMNO yang di hadapan kita mengaku bersama perjuangan parti tetapi di belakang kita, mereka tidak bersama dan inilah sebenarnya cabaran yang perlu kita hadapi.

“Saya telah mengesan beberapa individu yang merupakan penyokong parti pembangkan­g tetapi di hadapan kita, berlakon seolah-olah mereka tetap bersama kita (UMNO). Orang ini nanti, apabila kita berhadapan dengan pilihan raya umum, akan menyusahka­n kita,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Istiadat Penganuger­ahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri Melaka sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-78 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di sini, semalam.

Idris diminta mengulas tindakan lebih 30 pemimpin akar umbi UMNO termasuk bekas Exco Pemuda Mohd Rafiq Naizamohid­een kelmarin yang mengumumka­n keluar daripada UMNO kerana hilang keyakinan terhadap Presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata tindakan Mohd Rafiq merupakan kelegaan buat parti kerana tidak perlu lagi risau tentang individu yang tidak setia dan mempunyai perancanga­n tidak baik terhadap parti berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia