Utusan Borneo (Sarawak)

Pasaran getah teruskan momentum meningkat

-

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan trend meningkat minggu ini, dipacu oleh prospek positif di pasaran serantau dan global.

Peniaga berkata, pasaran getah Kuala Lumpur juga mungkin disokong jangkaan kenaikan dalam harga minyak mentah serta kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Harga minyak AS meneruskan kenaikan berikutan laporan kerajaan AS menunjukka­n penurunan dalam inventori minyak mentah dalam tempoh enam minggu, katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia ( MARGMA) menggesa anggotanya memanfaatk­an projek Bandaraya Getah di Thailand yang menawarkan insentif cukai yang menarik, bekalan buruh yang banyak serta berdekatan bahan mentah.

“Kerajaan Thai juga menyediaka­n infrasturk­tur air dan juga bekalan gas asli yang akan disediakan dalam tempoh tiga tahun,” kata Presiden MARGMA, Denis Low Jau Foo kepada pemberita pada Jelajah Bandaraya Getah di Songkhla, kelmarin.

Bandar raya Getah dikenal pasti untuk Kawasan Perindustr­ian Wilayah Selatan di daerah Hatyai, Songkhla.

Untuk minggu baharu berakhir, pasaran tempatan diniagakan lebih tinggi, disokong oleh pasaran getah serantau yang kukuh serta kenaikan dalam harga minyak sawit dan penyusutan ringgit berbanding dolar AS.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 meningkat 35.5 sen kepada 635 sen sekilogram berbanding 599.5 sen sekilogram Jumaat lepas manakala lateks pukal naik 18 sen kepada 487 sen sekilogram berbanding 469 sen sekilogram sebelum ini.

Harga penutup tidak rasmi pada jam 5 petang untuk SMR 20 menambah 40 sen kepada 640.5 sen sekilogram berbanding 600.5 sen sekilogram minggu sebelumnya manakala susu getah pukal menokok 17 sen kepada 488 sen sekilogram berbanding 471 sen sekilogram sebelum ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia