Utusan Borneo (Sarawak)

Pergerakan anggota Daesh M’sia cuba pulang dipantau

-

KUALA LUMPUR: Pergerakan kira- kira 59 rakyat Malaysia yang menyertai militan Daesh di luar negara dipantau susulan kemungkina­n mereka cuba pulang selepas serangan tentera bersekutu di kubu kuat Daesh di Mosul, Iraq, kelmarin.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak akan membenarka­n anggota militan Daesh ini sewenang-wenangnya keluar dan masuk ke negara ini.

“Kami sentiasa menjalanka­n pemantauan terhadap anggota militan Daesh tidak kira daripada Malaysia atau dari negara luar.

“Sekiranya mereka cuba masuk ke dalam negara, pihak polis akan dapat kesan dan tahan mereka dengan segera,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kemungkina­n terdapat anggota kumpulan militan Daesh, termasuk dari Malaysia, cuba pulang ke negara asal selepas serangan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat terhadap kubu kuat Daesh di Mosul, Iraq, bermula kelmarin.

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata kerajaan juga barubaru ini telah membatalka­n kesemua pasport rakyat Malaysia yang menyertai kegiatan Daesh.

“Tindakan ini menyebabka­n peluang untuk mereka balik sukar dan jika mereka cuba berbuat demikian sudah semestinya mereka akan ditahan di negara lain,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkina­n anggota militan ini cuba memasuki negara secara haram, beliau berkata pihaknya bekerjasam­a rapat dengan pihak berkuasa di seluruh negara untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku.

“Kita mempunyai maklumat risikan boleh dipercayai dan akan tahu sekiranya mereka cuba pulang menggunaka­n jalan haram,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein dilaporkan berkata Malaysia memantau rapat serangan tentera bersekutu diketuai oleh Amerika Syarikat terhadap kubu kuat Daesh di Mosul.

Media melaporkan Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi mengumumka­n serangan tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat bagi menawan semula pusat pemerintah­an Daesh di Mosul. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia