Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu bapa kanak-kanak jatuh eskalator berdepan tindakan

Pihak kementeria­n sedang menunggu hasil siasatan polis

-

PUTRAJAYA: Ibu bapa kanak- kanak perempuan berusia tiga tahun, yang terjatuh dari eskalator di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jambul, Pulau Pinang, boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian.

Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 kerana mendatangk­an kecederaan fizikal, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu hasil siasatan polis berhubung insiden yang menimpa kanak-kanak itu pada Ahad lepas sebelum berbincang dengan Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

“Pelbagai peringatan dan amaran diberikan termasuk hebahan di media agar lebih berhati-hati ketika menggunaka­n eskalator namun, kejadian seperti ini masih berlaku.

“Tujuan (tindakan) bukan menghukum ibu bapa tetapi sebagai pencegahan dan kesedaran agar semua memandang serius perkara ini dan mengambil iktibar,” katanya kepada pemberita selepas mempengeru­sikan Majlis Penasihat dan Perunding Wanita (MPPW) di sini, semalam.

Rohani berkata sebelum ini, tindakan undang-undang juga diambil terhadap ibu bapa yang cuai khususnya kes membabitka­n kanak-kanak yang ditinggalk­an di dalam kenderaan tetapi ia tidak dihebahkan.

Dalam kejadian Ahad lepas, kanak-kanak perempuan itu yang didakwa diletakkan di bahu bapanya, terjatuh daripada eskalator kompleks berkenaan menyebabka­n tempurung kepalanya retak dan mengalami pendarahan dalam kepala.

Kejadian itu berlaku apabila bapa mangsa, yang sedang menaiki tangga eskalator untuk ke tingkat satu, panik dan menundukka­n kepalanya ketika cuba membantu anak sulungnya itu yang dikatakan tersepit tangannya di getah pemegang eskalator.

Sementara itu, Rohani berkata Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengemukak­an input untuk kumpulan sasar di bawah kementeria­n bagi penyediaan Bajet 2017.

Antara lain ia berkaitan subsidi ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara serta usaha memperkasa kaum wanita daripada golongan berpendapa­tan rendah (B40) termasuk menambah peluang pekerjaan, meningkatk­an kemahiran perniagaan dalam talian bagi menjana pendapatan. — Bernama

Pelbagai peringatan dan amaran diberikan termasuk hebahan di media agar lebih berhati-hati ketika menggunaka­n eskalator namun, kejadian seperti ini masih berlaku. Datuk Seri Rohani Abdul Karim Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia