Utusan Borneo (Sarawak)

Hartawan AS berikrar kembalikan era kegemilang­an Marseille

-

MARSEILLE, Perancis: Hartawan Amerika Syarikat (AS), Frank McCourt melengkapk­an pembelian kelab Marseille Isnin lepas dan berikrar untuk melabur 200 juta euro untuk mengembali­kan maruah kelab ke era kegemilang­an.

McCourt, 63, yang juga bekas pemilik kelab Los Angeles Dodgers, menandatan­gani dokumen penting di Paris selepas bersetuju dengan pembelian kelab dari pemilik asal, Margarita Louis-Dreyfus pada 29 Ogos lalu.

Louis- Dreyfus mewarisi kelab selepas kematian suaminya, Robert pada 2009 tetapi walaupun pelaburan jutaan dolar, kelab terus bergelut dengan menamatkan saingan di tangga ke-13 musim lepas.

Pemilikan McCourt berkuat kuasa serta- merta dengan presiden baharu kelab, Jacques-Henri Eyraud, tiba di Stadium Velodrome untuk meraikan permulaan era baharu selepas 20 tahun di bawah keluarga Louis-Dreyfus.

“Hari ini, babak baharu bermula dalam sejarah hebat kelab Olympique Marseille,” kata McCourt dalam satu kenyataan selepas menandatan­gani kontrak bernilai 45 juta euro.

“Cabaran yang dihadapi oleh Marseille dalam dan luar padang telah memberikan impak negatif ke atas penyokong kelab sejak beberapa tahun yang lalu,” tambah beliau. “Kami akan mengembali­kan kelab di landasan kegemilang­annya.”

McCourt memberitah­u akhbar sukan harian Perancis, L’Equipe lewat hari yang sama di mana beliau merancang untuk melabur “200 juta euro dalam tempoh empat tahun akan datang” di dalam kelab.

Cabarannya sangat besar – Marseille – bergelut menarik minat pemain-pemain ternama dan pelaburan, belum bermain dalam Liga Juara-Juara sejak tiga musim terakhir.

Penyokong juga tidak datang menonton perlawanan di Velodrome dengan kurang dari 25,000 orang hadir ketika Marseille menewaskan Metz 1-0 pada perlawanan terakhir dalam era Louis-Dreyfus.

Perlawanan pertama Marseille di bawah kepimpinan McCourt ialah menentang juara bertahan Ligue 1, Paris Saint Germain (PSG) Ahad ini.

Eyraud turut menandatan­gani tugas di Paris sebelum ke Marseille di mana beliau tiba ke pusat latihan dengan menunggang teksi bermotor untuk bertemu dengan pemain dan kakitangan.

Gandingan McCourt- Eyraud akan cuba mengubah pasukan bekas juara Eropah itu yang menamatkan saingan liga di kedudukan terburuk mereka pada 15 tahun terakhir.

Muncul juara Eropah pada 1993, Marseille memenangi kejuaraan Ligue 1 yang kesembilan dan terakhir pada 2010. Dibimbing oleh Franck Passi, mereka berada di tangga ke-12 liga setakat musim ini.

McCourt menjadi warga AS terbaharu yang membeli sebuah kelab bola sepak di Eropah selepas Manchester United, Arsenal, Liverpool ( England) dan AS Roma (Itali).

Agenda pertama mereka ialah penstruktu­ran semula kelab dengan pelantikan baharu pengarah sukan dan ketua pemasaran dan kewangan.

McCourt mungkin akan cuba membeli nama-nama besar semasa pasaran perpindaha­n pemain dan juga seorang jurulatih baharu untuk sekurang- kurangnya pada musim hadapan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia