Utusan Borneo (Sarawak)

Penulis Guantanamo kembali ke Mauritania

-

NOUAKCHOTT: Seorang tahanan Teluk Guantanamo yang menulis sebuah buku yang laris dijual mengenai pengalaman­nya dalam penjara tentera di sana telah bersatu semula dengan keluargany­a di negara asalnya Mauritania kelmarin selepas 14 tahun ditahan.

Pemindahan Mohamedou Ould Slahi, dipercayai tahanan terakhir dari Mauritania yang ditahan di kemudahan tersebut di Cuba, menurunkan populasi yang masih ada di penjara kepada 60.

Kesnya menjadi satu perjuangan yang menarik perhatian ekoran penerbitan buku ‘Guantanamo Bay’ pada tahun lepas, di mana beliau menggarisk­an layanan yang beliau terima di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Cuba dan berkata beliau mengalami penyeksaan.

Slahi, yang memakai jubah lengan lebar tradisiona­l Mauritania, ‘ boubou’, disambut oleh keluargany­a dan puluhan rakan ketika beliau tiba di rumahnya di sebuah kawasan kejiranan kelas buruh di ibu negara Nouakchott.

Dalam kenyataan pertama yang disiarkan televisyen kebangsaan, bekas tahanan itu mengucapka­n terima kasih kepada presiden Mauritania, Mohamed Ould Abdel Aziz, di atas usaha beliau untuk membawanya pulang.

Kelihatan ceria dan sihat, beliau tidak mengulas mengenai keadaan yang beliau hadapi dalam tahanan, yang banyak dipaparkan di dalam bukunya.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty Internatio­nal mengalu-alukan pembebasan itu tetapi berkata ia sudah lama dinantikan.

“Penahanan dan penyeksaan Encik Slahi selama 14 tahun yang menyalahi undang-undang tidak berperikem­anusiaan, dan pemindahan­nya sudah lama dinantikan,” kata Elizabeth Beavers, aktivis kanan bersama Amnesty Internatio­nal USA.

“Ceritanya mengenai layanan yang beliau terima memberi gambaran yang mengerikan tentang realiti yang dialami mereka yang ditahan secara tidak sah selama lebih sedekad tanpa pendakwaan,” tambahnya.

Slahi, 45, ditahan di negara asalnya ekoran serangan 11 September ke atas AS pada 2001, kerana disyaki terbabit dalam satu komplot yang tidak berjaya untuk mengebom Los Angeles pada 1999.

Beliau dibawa ke Guantanamo pada Ogos 2002 selepas disoal siasat dk Jordan dan Afghanista­n.

Dalam bukunya, Slahi menceritak­an tentang beban hidup dalam penjara, dengan menyatakan: “Saya mula khayal dan mendengar suara sejelas kristal. Saya mendengar keluarga saya dalam perbualan keluarga yang santai. Saya mendengar bacaan Al-Quran dalam suara syurgawi.”

Beliau menambah: “Saya hampir hilang kewarasan.”

Sumber keselamata­n Mauritania memberitah­u AFP Slahi tiba di ibu negara Nouakchott kelmarin dengan menaiki sebuah pesawat tentera AS, dan disambut oleh anggota badan keselamata­n Mauritania.

“Beliau tidak bebas untuk bergerak serta-merta tetapi perlu disoal oleh badan keselamata­n sebelum beliau dibebaskan,” sumber itu berkata. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia