Utusan Borneo (Sarawak)

Rumah nelayan terbalik bawa mesej kehidupan nelayan

-

SERDANG: Rumah Nelayan Terbalik pada Pameran Antarabang­sa Pertanian, Hortikultu­r dan Agro Pelanconga­n Malaysia (MAHA) 2016 yang membawa mesej mengenai konsep kehidupan seorang nelayan di Malaysia menarik lebih 10,000 pengunjung sejak ia dibuka 1 Dis lepas.

Fieza Ahmad, seorang kru di rumah ‘Fisherman Fun House’ itu yang terletak di myDOF Valley yang dahulunya dikenali Laman Perikanan berkata, rumah tersebut menggunaka­n teknologi FRAMECAD dari Australia, turut mempamerka­n barang-barang perhiasan dan perabot baharu dan lama serta barangan antik dari tahun 1950-an.

“Konsep kehidupan nelayan dijadikan tema kerana kebanyakan golongan muda tidak mengenali pukat atau jala. Oleh itu, 10 orang kru akan membantu mengambil gambar dan memberi informasi mengenai kehidupan nelayan.

“Pemegang tiket dewasa ( RM4) dan kanak- kanak (RM2) akan diberikan dua cucuk sate ikan tuna sebagai tarikan melawat Rumah Nelayan Terbalik,” katanya kepada Bernama.

Siti Aminah Mohamed dari Bangi ketika mengunjung­i rumah nelayan terbalik itu kelihatan terpegun melihat reka bentuk dan fizikal rumah setingkat itu, selain melihat kerusi yang diperbuat daripada kayu yang tergantung dan siling berada dalam keadaan terbalik.

“Saya berasa keliru berada di dalam sebuah rumah yang terbalik, lantai di atas kepala, bumbung pula di kaki. Pening, tapi saya seronok,” kata pelajar berusia 18 tahun itu kepada Bernama ketika ditemui.

Simulasi kapal dengan tiga skrin turut terdapat di dalam rumah itu, dan para pengunjung boleh merasai pengalaman mengemudi kapal di laut dan dalam keadaan hujan.

Laman itu turut mempamerka­n ‘ Kingdom of Sharks’ bagi merasai pengalaman seolah-olah berada di lautan sambil dikeliling­i ikan yu selain mendapat maklumat mengenai ikan berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia