Utusan Borneo (Sarawak)

PRK: CALON BN MUNGKIN DIUMUM MENJELANG PENAMAAN CALON

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mungkin hanya akan mengumumka­n nama calon Barisan Nasional (BN) beberapa hari sebelum hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, Ketua Menteri tidak akan tergesa-gesa mengumumka­n nama calon BN memandangk­an perlu mengambil kira pertimbang­an sewajarnya.

Tambahnya, banyak faktor perlu diambil kira termasuk menjaga nama baik Allahyarha­m Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya 2016.

“Ketua Menteri ingin memastikan beliau terus mengetuai satu pasukan wakil rakyat BN yang bukan sahaja dedikasi serta rajin menjaga kawasan masingmasi­ng, tetapi juga benar-benar memahami inspirasi Tok Nan dalam usaha perundinga­n dengan kerajaan persekutua­n mengenai autonomi pentadbira­n serta perkara-perkara lain berkaitan dengan kepentinga­n negeri,” katanya.

Abdullah yang diminta mengulas mengenai persediaan BN menjelang PRK itu berkata, Abang Johari dijangka akan membuat keputusan tentang bakal calon setelah mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak terutama daripada akar umbi.

Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) kelmarin memutuskan tarikh penamaan calon PRK itu ialah pada 4 Februari, disusuli dengan 12 Februari hari mengundi awal dan mengundi pada 18 Februari.

Abdullah berkata, selepas pengumuman SPR, Ketua Menteri telah memanggil beliau untuk berbincang tentang persediaan awal bagi menghadapi PRK Tanjong Datu.

“Saya yakin beliau akan berbincang dengan lebih terperinci tentang perkara ini pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB esok (Sabtu),” katanya sambil menambah, persediaan PRK Tanjong Datu akan bermula dalam masa terdekat. Meskipun Tanjong Datu dianggap sebagai kawasan ‘putih’ bagi BN, tumpuan utama Abang Johari ialah untuk memastikan cita-cita serta hajat Allahyarha­m Tok Nan di kawasan beliau ditunai dan diteruskan terutama pembanguna­n kawasan pedalaman di situ. Ketua Menteri, jelasnya, mahu semua rakyat Sarawak terutama warga pedalaman sentiasa mengenang dan menghargai jasa Tok Nan dalam usaha membangun kawasan luar bandar. Menurutnya, Program Transforma­si Desa (RTP) merupakan ilham Tok Nan. Sepanjang dua tahun lepas, projek-projek RTP yang menggunaka­n sepenuhnya peruntukan kerajaan negeri telah berjaya dilaksanak­an di seluruh negeri terutama di kawasan pedalaman dan akan diteruskan pada tahun ini.

Katanya, projek-projek RTP memberi tumpuan dalam pelaksanaa­n projek-projek berskala sederhana dan kecil seperti membina serta menaik taraf jalan-jalan perhubunga­n kampung serta rumah panjang, membina baharu dewan serbaguna, baik pulih jeti dan jambatan kecil, perparitan dan lain-lain.

Hasrat kerajaan ialah untuk menyediaka­n segera infrastruk­tur asas tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan persekutua­n, jelasnya.

Sarawak, katanya, masih memerlukan peruntukan yang besar daripada kerajaan persekutua­n bagi membiayai projek-projek besar terutama yang dapat menaik taraf sosioekono­mi rakyat dan negeri.

“KM Abang Johari juga ingin memberi tumpuan terhadap inisiatif-inisiatif berpaksi kepada kepentinga­n rakyat yang diumumkan pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri bagi membentang­kan bajet negeri pada tahun lepas seperti Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dan tindakan susulan untuk membaik pulih banyak sekolah-sekolah usang di kawasan luar bandar,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia