Utusan Borneo (Sarawak)

‘Kami diperlakuk­an seperti hamba abdi’

Mangsa culik Abu Sayyaf diseksa, hanya makan sisa makanan dan minum air masin

-

KUALA LUMPUR: Dua daripada lima nelayan rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Filipina pada Julai tahun lepas melalui detik menyeksaka­n sepanjang lebih lapan bulan berada dalam tahanan kumpulan pengganas itu.

Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Summas, 63, yang diselamatk­an pasukan keselamata­n Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa KL (KLIA) di Sepang, malam kelmarin.

Menurut Tayudin, mimpi ngeri kesemua mereka yang merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga bermula apabila diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah pada 18 Julai 2016.

Tayudin dan Abdul Rahim yang kini mengalami pelbagai masalah kesihatan berkata mereka sering diseksa seperti hamba abdi dan hanya diberi sisa makanan kumpulan terbabit dan meminum air masin bagi meneruskan kehidupan.

“Kami disuruh memasak untuk mereka dan hanya sisa makanan mereka akan diberikan kepada kami...jika tiada lebihan makanan maka tiada makanan untuk kami.

“Mata kami sering ditutup dan tangan kami sering diikat...kami juga sering dipindahka­n dari satu tempat ke tempat yang lain pada waktu malam di dalam hutan yang tidak diketahui,” katanya sambil menangis kepada pemberita di sini semalam.

Kedua-dua mangsa culik itu pagi semalam bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk melahirkan sendiri penghargaa­n kerana kerajaan tidak berputus asa menyelamat­kan mereka.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Filipina yang menyelamat­kan kami, sepanjang lapan bulan, kami tidak putus harapan dan percaya kami akan diselamatk­an satu hari nanti,” katanya.

Menceritak­an detik mereka diselamatk­an, Tayudin berkata dia dan Abdul Rahim dibawa oleh orang kampung menaiki perahu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina.

“Pada malam itu, kami berdua tidak tahu kami sedang diselamatk­an malah tiga lagi rakan yang turut diculik juga tidak mengetahui­nya dan tidak dapat diselamatk­an ketika itu,” katanya.

Tayudin dan Abdul Rahim yang masih trauma, berkerusi roda dan tidak mampu berjalan akibat diseksa ketika diculik turut mengalami masalah penglihata­n akan dirawat di Hospital Selayang sebelum dibawa pulang ke Sabah.

Kedua- dua mangsa juga mengalami masalah pundi kencing tidak berfungsi aki- bat terpaksa meminum air masin.

Kedua-dua mereka turut dipertemuk­an dengan keluarga mereka di kediaman Perdana Menteri di Jalan Taman Duta di sini, sambil disaksikan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Tayudin disambut isterinya Rustia Sultan, 47, dan dua anak mereka iaitu Nurerin Farisha, 13, dan Mohd Fahirin, 5, manakala Abdul Rahim disambut anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain, tidak dapat menahan tangis sejurus bertemu.

Menurut Tayudin, penculik membenarka­n mereka menghubung­i keluarga melalui telefon beberapa kali dalam tempoh tersebut, dan setiap kali itu juga, penculik mengugut untuk membunuh mangsa.

Abdul Rahim yang menghidap darah tinggi berada dalam keadaan lemah mengadu sakit di seluruh tubuh dan tidak boleh melihat dengan jelas.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid kira-kira pukul 9.30 pagi tadi mengesahka­n tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang turut diculik, Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, telah diselamatk­an tengah malam kelmarin. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERSYUKUR: Tayudin (kanan) dan Abd Rahim selepas majlis penyerahan kepada keluarga masingmasi­ng di kediaman Perdana Menteri di Taman Duta semalam.
— Gambar Bernama BERSYUKUR: Tayudin (kanan) dan Abd Rahim selepas majlis penyerahan kepada keluarga masingmasi­ng di kediaman Perdana Menteri di Taman Duta semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia