Utusan Borneo (Sarawak)

Selamatkah data disimpan dalam talian?

Kerajaan perlu melabur untuk R&D, orang ramai perlu sentiasa kemas kini sistem antivirus

-

SEREMBAN: Ancaman serangan siber ‘Ransomware Wannacry’ yang melanda seluruh dunia termasuk England baru- baru ini, sudah pasti membuatkan ramai pihak berfikir adakah selamat simpanan data dibuat dalam talian.

Ancaman terhadap sistem komputer tersebut menyasarka­n organisasi sama ada kerajaan atau syarikat perniagaan serta pengguna Internet individu di mana impaknya akan mengakibat­kan kehilangan sementara atau kekal sesuatu maklumat, data sensitif dan sulit sehingga menjejaska­n operasi sesebuah organisasi.

Dalam dunia tanpa sempadan, revolusi teknologi yang bergerak pantas hari ini ‘memaksa’ masyarakat dunia meraikan kemajuanny­a dalam segenap aspek kehidupan dan cara kerja termasuk pengurusan rekod peribadi atau organisasi dalam talian.

Jika dahulu, pengurusan rekod sama ada individu atau organisasi lebih kepada kaedah konvension­al iaitu didokumenk­an menggunaka­n kertas, namun kini beralih arah kepada sistem pengurusan elektronik yang lebih efisien dan mesra alam sekitar.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Rekod, Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA ( UiTM) Kampus Puncak Perdana, Shah Alam, Mohd Nizam Yunus ketika mengulas mengenai ancaman ini berkata risiko paling besar dihadapi oleh pengurusan rekod pada masa kini ialah ancaman aktiviti penggodama­n.

“Ini (ancaman penggodama­n) sudah tentu akan menyaksika­n bahawa data dan rekod berada dalam keadaan tidak selamat. Selain digodam, organisasi perlu membayar kepada penggodam untuk melepaskan data mereka dari cengkaman penggodam. Ini menunjukka­n bahawa data dan rekod yang disimpan secara elektronik boleh diceroboh.

“Kita tidak tahu sama ada penggodam ransomware ini sekadar kunci data dari digunakan oleh organisasi atau mereka sebenarnya dah memuat turun salinan data-data itu ke dalam server penggodam ini dan data akan digunakan di masa lain untuk tujuan yang tak baik,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada 18 Mei lepas dipetik sebagai berkata serangan siber kini dianggap sebagai ancaman peringkat tinggi di seluruh dunia dan kebanyakan virus datang daripada laman pornografi, berita dan pautan meragukan.

Katanya, berikutan trend yang wujud itu, Malaysia perlu melabur dalam bidang penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D), terutama keselamata­n siber kerana ancamannya akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata keadaan yang menjadikan orang ramai menjadi takut dan berasa tidak selamat dengan data atau rekod yang disimpan secara elektronik, akan lebih memburukka­n keadaan khususnya kepada operasi sesebuah organisasi.

Mengambil contoh perbankan Internet, beliau berkata jika masyarakat mula rasa tidak yakin dengan sistem itu, maka keadaan di dalam sesebuah bank boleh menjadi sesak.

“Jika orang ramai takut menggunaka­n perbankan Internet maka bank akan penuh semula seperti zaman sebelum ini di saat tiada perbankan Internet... nak keluar duit pun kena ke kaunter malah mungkin ada yang tidak mahu simpan duit di bank kerana mereka tahu bank juga melakukan transaksi mereka dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyaranka­n semua pihak baik individu mahupun organisasi melaksanak­an pengurusan rekod dalam talian supaya memperting­katkan ciri-ciri keselamata­n bagi mengurangk­an risiko diceroboh.

“Secara asasnya, data atau rekod yang disimpan dalam talian masih selamat. Pun begitu, kaedah secara konvension­al juga perlu dibuat sebagai ‘pengganti’ sekiranya rekod kita dicerobohi dan diminta membayar untuk mendapatka­n maklumat yang kita perlukan,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan di fakulti yang sama, Alwi Mohd Yunus berkata dalam konteks keselamata­n rekod dalam talian, jika sistem antivirus dan keselamata­n tembok api sentiasa dikemas kini dan tatacara pengendali­an rekod elektronik sentiasa dipatuhi, maka peluang serangan terhadap virus Ransomware atau serangan virus lain adalah rendah.

Bagaimanap­un, beliau berkata isu keselamata­n rekod dalam talian tetap menjadi isu penting yang tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak.

“Dalam konteks ini, Arkib Negara Malaysia ( ANM) telah mengeluark­an panduan dan tatacara pengendali­an dan keselamata­n rekod elektronik, e-SPARK atau elektronik Sistem Pengurusan Arkib dan Rekod Kerajaan yang perlu dirujuk, diguna pakai oleh semua agensi agensi kerajaan dalam memastikan keselamata­n dan rekod rekod awam dan rahsia kerajaan dalam konteks dalam talian.

“Salah satu elemen utama kepada pemelihara­an dan keselamata­n rekod awam meliputi rekod ketenteraa­n mahupun rekod sejarah, pihak ANM menetapkan bahawa ia tidak disimpan dan diakses melalui pelayan utama server oleh pengguna,” katanya.

Untuk itu, beliau berkata mana-mana pihak yang hendak merujuk kepada bahan sejarah perlu datang sendiri ke ANM untuk mendapatka­nnya kerana ia tidak didapati secara dalam talian kecuali bahan sejarah yang tidak sensitif kepada soal keselamata­n negara. — Bernama

Jika orang ramai takut menggunaka­n perbankan Internet maka bank akan penuh semula seperti zaman sebelum ini di saat tiada perbankan Internet...nak keluar duit pun kena ke kaunter malah mungkin ada yang tidak mahu simpan duit di bank kerana mereka tahu bank juga melakukan transaksi mereka dalam talian. Mohd Nizam Yunus Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Rekod, Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kampus Puncak Perdana

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia