Utusan Borneo (Sarawak)

Projek naik taraf selekoh tidak harus abai aspek kualiti

-

LIMBANG: Agensi pelaksana dan kontraktor perlu menekankan aspek pengurusan banjir, tanah runtuh selain Program Pengurusan Trafik (TMP) semasa melakukan kerja-kerja menaik taraf selekoh-selekoh di Jalan Tedungan sehingga Pandaruan yang sedang giat dilaksanak­an.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata beberapa jalan di sini berdepan masalah banjir dikaitkan dengan projek penaiktara­fan selekoh, justeru perlu diberi perhatian untuk mengelak berlaku tanah runtuh bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Beliau memberitah­u, sebanyak 11 projek menaik taraf selekoh dijalankan kini memasuki perkembang­an 75 peratus dan dijangka siap Ogos depan dengan peruntukan RM39.5 juta daripada kerajaan pusat melalui Kementeria­n Kerja Raya (KKR) Malaysia.

“Kita mahu projek menaik taraf 11 selekoh dijalankan sekarang tidak mengabaika­n aspek kualiti bukan sahaja merangkumi aspek TMP, tetapi masalah banjir di beberapa jalan berisiko dinaiki air dan mengelak berlaku tanah runtuh,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di beberapa selekoh utama di sini dan Bangunan Tamu Limbang, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKR Malaysia Dato Sri Zohari Akop, rombongan KKM dari Putrajaya, wakil Residen Limbang Selamat Jati Yanjah, Pegawai Dearah Limbang Jamalie Busri, Wali Kota Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat dan Jurutera JKR Bahagian Limbang Noor Ismail Razali.

Hasbi berkata, KKR turut melakukan pemantauan terhadap pelaksanaa­n projek itu bagi memastikan kualitinya tidak diabaikan selain memastikan laluan trafik di kawasan projek dapat berjalan lancar.

Katanya, pada masa ini KKR melalui JKR Negeri berbincang mengenai masalah projek dihadapi dan mencari penyelesai­an untuk memastikan projek itu mendatangk­an manfaat kepada rakyat.

Mengulas mengenai perkembang­an kerja menaik taraf Bangunan Tamu Limbang, Hasbi berkata kerja menaik taraf memasuki 70 peratus mengambil masa sebulan atau dua bulan.

Beliau optimis pengubahsu­aian tempat berjaja sayur dan ikan bakal memberi keselesaan dan kawasan lebih luas berbanding tempat lama di Bangunan Tamu terbabit.

“Pengubahsu­aian di kawasan berjaja itu lebih tersusun, selesa dan fleksibel memberi keselesaan bukan sahaja kepada peniaga tetapi pengunjung,” katanya.

Beliau mahu pihak berkuasa tempatan menyelaras kerja menyusun atur kawasan berniaga sayur dengan peniaga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia