Utusan Borneo (Sarawak)

Kerambit ditemui, siasatan kes bunuh hampir selesai

-

KUCHING: Siasatan kes bunuh di Jalan Abang Abdul Rahim pada 22 Mei lalu hampir siap selepas penemuan senjata jenis kerambit yang digunakan suspek utama dalam kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, ketujuh-tujuh suspek termasuk seorang suspek utama dijangka didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan kini sudah hampir lengkap, dan kita percaya suspek akan dituduh dalam sedikit masa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpuna­n Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Padang Kawad IPD di sini, semalam.

Mengulas mengenai lanjut mengenai senjata bunuh itu, Abang Ahmad menjelaska­n kerambit berkenaan ditemui disembunyi dengan diselitkan di belakang reban ayam di rumah suspek utama pada 23 Mei lalu sekitar jam 10.30 pagi.

“Penemuan senjata bunuh ini hasil pandu arah suspek sendiri di mana kita turut menjumpai sarung kaki yang masih ada kesan darah yang digunakan suspek untuk membungkus kerambit tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, dua kereta yang ada kaitan dengan suspek turut dirampas sebagai bahan bukti.

Dalam kejadian pada 22 Mei tersebut, mangsa, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuching (DBKU) berusia 38 tahun maut selepas dibelasah hingga mati oleh suspek dan rakan-rakan, kira-kira 300 meter dari sebuah pusat karaoke di sini.

Ekoran itu, seramai tujuh suspek yang terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki berusia dalam lingkungan 25 hingga 68 tahun telah berjaya diberkas termasuk suspek utama kes berkenaan.

“Kita percaya dari apa yang kita perolehi, kita dapat selesaikan kes ini kurang daripada 48 jam. Kita berharap kes seperti ini tidak berlaku lagi di Daerah Kuching,” ujarnya.

Dalam perkembang­an lain, Abang Ahmad berkata, seorang lelaki berusia 40 tahun ditangkap kerana memiliki dadah awal pagi semalam di sini.

Tegasnya, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia