Utusan Borneo (Sarawak)

Messi ikrar untuk ‘terus berjuang’

-

BUENOS AIRES: Lionel Messi berikrar untuk ‘terus berjuang’ tatkala Argentina cuba mengatasi kesukaran mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan memastikan tempat mereka dalam kejohanan pada tahun depan di Russia.

Juara dunia sebanyak dua kali itu menduduki tempat kelima dalam kelayakan Amerika Selatan, di mana hanya empat pasukan teratas sahaja dijamin tempat dalam kejohanan akhir Piala Dunia 2018.

“Baki 365 hari lagi ke Russia, marilah terus berjuang demi impian!” tulis Messi dalam laman Facebookny­a kelmarin, ketika Argentina cuba mengelak daripada kegagalan untuk mara ke kejohanan akhir buat pertama kali sejak 1970.

Musuh utama Brazil menjadi pasukan pertama untuk layak ke Russia pada Mac lalu, tetapi Argentina ketinggala­n satu mata di belakang Chile di tempat keempat dengan baki empat perlawanan lagi untuk dimainkan.

Pasukan Jorge Sampaoli berdepan dengan perlawanan ‘play-off’ dua pusingan menentang pemenang rantau Oceania – New Zealand atau Solomon Islands – jika mereka menamatkan kempen kelayakan di tempat kelima.

Argentina, tanpa Messi yang digantung perlawanan, mengalami kekalahan 2-0 di Bolivia dalam perlawanan kelayakan mereka yang terakhir, tetapi sejak itu penggantun­gan bintang Barcelona itu bagi empat perlawanan, kerana menyumpah seorang penolong pengadil, sudah ditarik balik oleh FIFA.

Argentina memenangi hanya satu sahaja daripada lapan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 yang dimainkan tanpa Messi, berbanding lima daripada enam perlawanan yang dimenangi bersamanya di atas padang. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia