Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk Long Kevok calonkan dua nama jadi ketua kampung

-

LONG KEVOK, BARAM: Penduduk Kampung Long Kevok di sini menamakan dua calon bagi menggalas tanggungja­wab ketua kampung baharu dalam satu majlis di sini semalam.

Pengerusi majlis Unong Seman berkata, dua calon dipersetuj­ui sebulat suara oleh penduduk kampung tersebut ialah Lucas Seman dan Ayut Geng selepas ketua sebelum ini, Seman Ngang bersara wajib tahun lepas.

“Sejak itu kami belum mempunyai ketua kampung baharu kerana ramai tidak berani mengambil keputusan menggalas jawatan tersebut,” katanya.

Belia berkata demikian pada Majlis Penghargaa­n Jasamu Dikenang TK Seman Ngang di Dewan Serba Guna Long Kevok.

“Kami telah melakukan perjumpaan bersama penduduk kampung dan sebulat suara mempersetu­jui Lucas dan Ayut sebagai calon ketua kampung Long Kevok baharu,” katanya.

Katanya, nama mereka akan dihantar kepada pegawai daerah dan segala keputusan untuk menentukan salah seorang untuk dijadikan ketua kampung pada masa akan datang amat kami hormati.

Lucas merupakan anak manakala Ayub merupakan menantu kepada TK Seman Ngang.

TK Seman Ngang, anak bangsa asli orang Penan menggalas tanggungja­wab sebagai ketua kampung sejak 1977 hingga 2016.

“Beliau menjadi kebanggaan buat semua warga kaum Penan di sini kerana selama 39 tahun menjadi ketua kampung, banyak pencapaian telah dikecapi dengan pembanguna­n yang telah dilaksanak­an di Long Kevok daripada pelbagai aspek kehidupan para penduduk,” jelas Unong.

Menurut Unong, salah satu daripada pencapaian tersebut ialah pelantikan Long Kevok sebagai pusat perkhidmat­an kaum Penan di kawasan tersebut pada 1990.

Antara projek lain yang dilaksanak­an termasuk sekolah, klinik dan perpustaka­an.

“Kerajaan tempatan juga telah membina dua rumah panjang di sini kerana mengenang jasa TK Seman Ngang atas pentadbira­n beliau, juga sentiasa menyokong segala yang disaran kerajaan di Long Kevok.

“Penduduk Long Kevok harus sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka ada dan harus sentiasa menjaga keharmonia­n antara penduduk kampung ini,” tambah beliau.

Majlis tersebut telah disempurna­kan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.

Mengulas mengenainy­a, Dennis menjelaska­n:

“Majlis ini amat bermakna terutama bagi penduduk kampung bagi mengenang jasa dan pengorbana­n bekas ketua kampung mereka, TK Seman Ngang, yang berkhidmat cemerlang selama 39 tahun justeru membawa pelbagai bentuk kemajuan di sini.

“Hasil kerja keras berterusan beliau bersama komuniti setempat dengan kerjasama kerajaan, hari ini kita dapat lihat Long Kevok telah menjadi satu kampung yang kita boleh banggakan,” kata Dennis.

Dennis turut menggesa penduduk Long Kevok dan sekitarnya untuk sentiasa menyokong kerajaan sedia ada demi kemajuan yang berterusan.

“Sikap mudah bekerjasam­a dengan orang lain termasuk para pemimpin amat penting kalau mahu maju dalam hidup. Misalnya TK Seman Ngang yang sentiasa menyokong kerajaan hingga menjadikan Long Kevok kampung pertama di sini memiliki sebuah sekolah.

“Kita mahukan generasi kita yang akan datang terus maju,” kata Dennis.

Dennis turut menasihati Lucas dan Ayut agar sentiasa ingat akan tanggungja­wab mereka dan sentiasa mendengar nasihat pegawai daerah.

“Kamu harus menunjukka­n bahawa kamu pemimpin yang sewajarnya dilantik oleh kerajaan. Menjadi seorang pemimpin bukan mudah kerana perlu berhadapan seribu satu macam masalah yang kita perlu atasi kerana tugas kita membawa kemajuan dan menyelesai­kan masalah.

“Pelantikan kamu sebagai seorang pemimpin bermaksud tugas kamu adalah untuk kemajuan rakyat meskipun terpaksa mengharung­i pelbagai kerenah mereka. Kamu harus bijak dalam mengambil hati semua pihak,” jelas Dennis.

Dennis turut menyumbang sejumlah RM2,000 untuk majlis tersebut.

Dennis turut memaklumka­n bahawa beliau akan memasukkan projek pembinaan dewan serba guna baharu kampung tersebut dalam projek Program Transforma­si Luar Bandar (RTP) 2018.

Seramai lebih 200 orang dari 19 kampung kaum Penan berdekatan telah menghadiri majlis tersebut. Majlis telah diserikan dengan persembaha­n tarian asli kaum Penan.

Turut hadir Sunarti Siri Wen mewakili Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai dan barisan ketua kampung berdekatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia