Utusan Borneo (Sarawak)

Beberapa kenamaan mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri

-

KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula hari ini menyaksika­n beberapa kenamaan mengadakan rumah terbuka terutama di bandar raya ini termasuk Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Tun Taib serta Toh Puan Ragad mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Astana pada hari raya pertama dan kedua.

Pada hari raya pertama, rumah terbuka bermula pada jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Tun Taib menerima kunjungan menteri-menteri kabinet negeri dan pusat serta orang kenamaan tempatan yang lain, ketua-ketua jabatan kerajaan, sektor swasta dan orang ramai.

Sementara pada hari raya kedua di Astana, rumah terbuka bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Orang ramai yang mengunjung­i rumah terbuka Tun Taib serta Toh Puan Ragad diingatkan agar berpakaian kemas dan sopan.

Turut mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada hari raya pertama dan kedua ialah Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta isteri Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang.

Ketua Menteri mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching ( BCCK) dari jam 10 pagi hingga 4 petang pada kedua-dua majlis 25 dan 26 Jun 2017.

Bagi mereka yang mahu berkunjung ke rumah terbuka Ketua Menteri terdapat perkhidmat­an bas disediakan iaitu dari Padang Pasir di pusat bandar raya dan di Dewan Undangan Negeri ( DUN) Lama untuk pergi dan balik ke BCCK dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Sementara itu Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi diadakan di kediamanny­a di No.87, Lorong Duranta 3D1, Taman Heritage, dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang pada hari raya pertama.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pesuruhjay­a Polis Negeri Datuk Mazlan Mansor akan bermula pada jam 11 pagi hingga 4 petang di kediaman rasmi beliau di Casa Maxwell Jalan Maxwell Kuching.

Sementara itu pada hari kedua, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Datuk Seri Feona Junaidi turut mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.

Orang ramai boleh berkunjung ke rumah terbuka mereka dari jam 9 pagi hingga 4 petang di Dewan Santapan DUN Lama di sini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof pula mengadakan Rumah Terbuka di kediamanny­a di Petra Jaya pada hari raya ketiga ( 27 Jun) dari jam 11 pagi hingga 5 petang di Lot 2390, Lorong Bakti 1B1, PJ Height, Jalan Sultan Tengah.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Dr Abdul Rahman Junaidi mengadakan rumah terbuka pada hari raya kedua dan ketiga di Dewan Bahasa dan Pustaka dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzarudin Abdul Rahman akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya keempat bermula jam 10 pagi hingga 4 petang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia