Utusan Borneo (Sarawak)

Johor teruskan program insentif bidang tanaman, industri hiliran

-

JOHOR BAHRU: Jabatan Pertanian Johor akan meneruskan program insentif dan bantuan untuk bidang tanaman serta industri hiliran bagi memastikan unjuran pengeluara­n produk makanan di negeri ini terus berkembang sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembanguna­n Usahawan dan Koperasi Johor Ismail Mohamed berkata antara program yang dilakukan merangkumi Projek Pembanguna­n Industri Pengeluara­n Makanan Utama Negeri Johor; Projek Pembanguna­n Sawah Padi, Tanaman Industri, Florikultu­r dan Komoditi Berpotensi serta Program Galakan Peningkata­n Pengeluara­n Pertanian.

“Program lain termasuk Program Pembanguna­n Pertanian Lestari; Program Pertanian Rakyat; Program Pembanguna­n Industri Asas Tani; Program Bantuan Bencana; Program Galakan Usahawan Tani serta Pembanguna­n Sumber Manusia iaitu melibatkan latihan kepada petani, usahawan serta belia tani,” katanya kepada Bernama.

Ismail berkata pemberian insentif dan bantuan projek pertanian dalam bentuk penyediaan infrastruk­tur, peralatan, input pertanian, perkhidmat­an teknikal serta pemindahan teknologi itu akan dapat menentukan pembanguna­n pertanian yang berterusan.

Beliau berkata Jabatan Pertanian Johor turut memainkan peranan penting dalam penghasila­n produk pertanian yang berkualiti dan menepati piawaian ditetapkan seperti Skim Amalan Pertanian Baik ( MyGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (MyOrganic).

Ismail berkata pertanian di negeri ini juga dapat diperkasak­an dengan memperkena­lkan konsep baharu bagi pembanguna­n tanaman dan industri hiliran seperti Taman Kekal Pengeluara­n Makanan (TKPM) dan pembanguna­n secara kluster.

Dalam perkembang­an lain, Ismail berkata kerajaan Johor memperuntu­kkan RM40,000 tahun lepas sebagai bantuan ihsan bencana kepada 33 petani di negeri ini.

Beliau berkata kesemua petani tersebut menghadapi pelbagai bentuk bencana termasuk kemarau, ribut dan serangan gajah.

“Antara tanaman yang terjejas akibat bencana itu adalah sayuran berdaun, sayuran buah, beberapa jenis pisang termasuk pisang tanduk dan pisang berangan, kelapa matag, padi, buah-buahan termasuk nangka, durian belanda dan limau kasturi, ubi kayu serta lengkuas,” katanya dan menambah setiap petani menerima bantuan antara RM500 dan RM1,000 seorang mengikut jenis tanaman yang terjejas.

Menurut Ismail, selain peruntukan kerajaan negeri, Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani turut memperuntu­kkan RM67,000 menerusi Tabung Bencana Negara bagi bantuan kemarau tahun lepas.

Katanya, seramai 134 petani menerima bantuan terbabit yang melibatkan daerah Mersing, Pontian, Kluang, Muar, Segamat dan Kota Tinggi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia