Utusan Borneo (Sarawak)

4 ditahan bantu siasatan kes bunuh pekerja hotel

-

GEORGE TOWN: Empat termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang remaja lelaki dengan kedua-dua belah tangan dan kaki berikat dengan tali nilon di dalam sebuah rumah di flat Padang Tembak, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V. Saravanan berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 30 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang sejak petang semalam hingga awal pagi semalam.

“Berdasarka­n siasatan awal polis, mereka yang ditahan termasuk remaja lelaki yang sudah tidak bersekolah kerana dibuang (sekolah) itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat M. Sathiwill, 20.

“Semua mereka kini dire- man selama enam hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat menurut Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, wanita yang tidak bekerja yang juga seorang janda itu, mempunyai tiga rekod lampau termasuk kes bunuh serta dikehendak­i polis berkaitan kes pecah rumah serta curi manakala seorang lelaki yang ditahan turut mempunyai satu rekod jenayah.

Saravanan berkata wanita itu turut positif dadah manakala ujian air kencing tiga lagi termasuk dua lelaki yang bekerja sebagai bouncer dan pekerja kontrak tersebut negatif dadah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian bunuh membabit- kan pekerja hotel itu.

“Polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan dipercayai mereka masih berada di sekitar negeri ini,” katanya.

Mayat Sathiwill dijumpai tertiarap kira-kira 9.30 pagi semalam dalam sebuah bilik oleh seorang rakan penyewa wanita unit rumah yang sama.

Mangsa menyewa sebuah bilik di situ bersama abangnya dan ketika dijumpai, mayatnya dibalut dengan cadar, katanya.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa telah dipukul oleh lima lelaki di koridor tingkat 16 sebelum diheret masuk ke biliknya dan mangsa telah dicederaka­n dengan benda tumpul kerana mukanya didapati bengkak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia