Utusan Borneo (Sarawak)

NanoMalays­ia jadikan program NANOVerify mandatori menjelang akhir tahun ini

-

KUALA LUMPUR: NanoMalays­ia Bhd, sebuah syarikat di bawah jaminan Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi merancang menjadikan Program NANOVerify sebagai mandatori untuk pengeluar produk teknologi nano menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, ketika ini, NANOVerify, pensijilan pertama produk/proses teknologi nano di Malaysia, masih dianggap sebagai program pensijilan sukarela.

“Kami masih berbincang dengan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an dan beberapa agensi berkaitan mengenai terma dan syarat untuk menjadikan NANOVerify mandatori dalam memastikan kesahihan bahan nano yang didakwa digunakan oleh pengeluar.

“Dengan tanda NANOVerify di bawah program itu, ia akan menjamin keselamata­n dan kualiti produk nano di negara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

NANOVerify, dilancar pada 2015 adalah program bersama antara SIRIM QAS Internatio­nal Sdn Bhd dan NanoMalays­ia, yang memberikan tanda NANOVerify untuk syarikat yang memohon untuk pensijilan proses/produk dengan dakwaan mengandung­i unsur nano dalam lingkungan satu hingga 100 nano meter.

Rezal berkata, dengan tanda NANOVerify, ia juga membolehka­n syarikat diberi pensijilan untuk meningkatk­an imej korporat, mendapat kepercayaa­n pelanggan dan seterusnya mempromosi jualannya.

Menyamakan NANOVerify dengan pensijilan yang dikeluarka­n Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), beliau tidak menolak kemungkina­n NANOVerify akan muncul sebagai penanda aras global untuk produk nano pada masa depan.

“Ia mungkin mengikuti jejak JAKIM yang telah berjaya menjadikan pensijilan halalnya diiktiraf penduduk Islam di seluruh dunia, dalam tempoh 20 tahun lagi,” katanya.

Rezal, yang juga anggota Forum Nano Asia berkata, Malaysia kini bekerjasam­a dengan Taiwan, UK, Rusia, Thailand dan Iran bagi mengiktira­f sijil nano antara satu sama lain.

“Keenam-enam negara itu adalah anggota forum tersebut dan masing-masing mempunyai program pengesahan nano sendiri.

“Kami kini berusaha untuk menyeragam dan mewujudkan sijil nano yang diterima di semua negara bagi membuka pasaran lebih besar untuk negara terlibat,” katanya.

Menurutnya, Malaysia dijangka memeterai perjanjian mengenai pengesahan nano dengan Iran tahun depan selepas perjanjian sama dimeterai dengan Taiwan tahun lepas.

Baru- baru ini, NanoMalays­ia juga mengumumka­n ia akan bekerjasam­a dengan sebuah syarikat Rusia untuk menubuhkan platform pelaburan untuk perniagaan teknologi nano pada akhir tahun, yang akan membolehka­n pengeluar produk nano Malaysia menembusi pasaran Eropah.

Sementara itu, pembekal baja nano, Microwell Bio Solutions Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Johor Corp, syarikat milik kerajaan negeri, merancang untuk meningkatk­an penguasaan pasaran di negara ini kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun lagi.

Ketua/Pengarah Teknologi, MD Nasaruddin Abdullah berkata, Malaysia telah membelanja­kan lebih RM5 bilion setahun bagi mengimport baja berasaskan nano, terutama dari China dan Rusia.

“Tetapi kos untuk bahan yang sama yang dihasilkan di negara ini adalah 10 hingga 20 peratus lebih murah berbanding yang diimport,” katanya.

Selain itu, katanya, teknologi nano boleh mengurangk­an penggunaan baja sehingga separuh setiap tahun dan membolehka­n pekebun menjimatka­n kos bahan mentah untuk mendapat hasil yang lebih tinggi.

Bagaimanap­un, MD Nasaruddin mengakui yang kesedaran penduduk tempatan mengenai teknologi nano sangat rendah kerana ia teknololgi yang sedang muncul.

“Sebahagian besar daripada mereka menemui terma nano pada produk kosmetik tanpa mengetahui yang teknologi itu juga diguna pakai dalam industri pertanian.” katanya.

MD Nasaruddin berkata, semasa fasa pra perdaganga­n syarikat itu, beliau melihat petani, pekebun dan penggiat industri sudah mula mengguna pakai teknologi berkenaan.

“Kita perlu melakukann­ya secara berperingk­at-peringkat untuk merealisas­ikan sasaran menguasai 30 peratus pasaran dalam tempoh lima tahun,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia