Semakin sukar untuk memiliki rumah
Selaraskan pengurusan pembangunan untuk tingkatkan pemilikan rumah mampu milik
KUALA LUMPUR: Perlu ada penyelarasan program pembangunan perumahan di bawah satu pengurusan efektif untuk membantu meningkatkan pemilikan rumah, terutamanya bagi segmen B40, kata portal hartanah dalam talian, PropertyGuru Malaysia.
Pengurus Negaranya, Sheldon Fernandez, berkata pengurusan itu boleh membantu menguruskan program perumahan mampu milik dan isu-isu berkaitan dengannya di bawah satu bumbung, kerana rumah mampu milik telah menjadi isu yang ber- larutan sejak sekian lama di negara ini.
Kumpulan B40 merujuk kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan pendapatan bulanan antara RM3,900 dan RM8,300.
Fernandez berkata ketika ini, terdapat banyak program perumahan mampu milik yang dikendalikan sama ada kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan, termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Skim Perumahan Wilayah Persekutuan.
“PropertyGuru menyam- but baik skim perumahan mampu milik kerajaan dan menyokong usaha padu untuk menyediakan rumah bagi segmen berpendapatan sederhana.
“Bagaimanapun, pada masa hadapan, adalah baik untuk melihat kerjasama antara program yang berbeza oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dan agensi berbeza bagi manfaat rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau juga berkata terdapat cabaran utama bagi rakyat Malaysia untuk memi- liki hartanah, iaitu paras pendapatan, dan dalam masa yang sama harga hartanah terus meningkat.
Fernandez berkata bagi orang tempatan harga rumah di Malaysia amat mahal, kerana harga hartanah ialah 4.4 kali hingga 4.5 kali daripada pendapatan pertengahan, yang mana sepatutnya harga yang sewajarnya ialah tiga kali daripada pendapatan pertengahan.
Meskipun inisiatif yang diambil kerajaan untuk menambah kecairan dalam ekonomi, termasuk pilihan bagi kakitangan untuk men- gurangkan caruman mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada lapan peratus daripada 11 ketika ini, Fernandez berkata, banyak lagi usaha yang boleh dilakukan termasuk menimbang pendapatan kasar untuk memperoleh pinjaman.
“Satu daripada antara perkara apabila kita bercakap mengenai mampu milik ialah usia pembeli rumah pertama. Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah untuk benar-benar meneliti segmen pembeli rumah pertama,” katanya.
Sementara itu, mengenai projek Forest City di Johor, Fernandez berkata, langkahlangkah penstabilan yang diambil kerajaan China barubaru ini untuk menstabilkan yuan akan memberi kesan kepada pembelian hartanah dari China.
“Bagaimanapun, ia mungkin rahmat kepada kita kerana kita melihat senario pembelian agresif daripada pembeli China. Saya rasa langkah yang diambil China akan membawa kepada kadar pembelian normal kerana kita menerima pembelian hartanah tinggi baru-baru ini,” katanya. — Bernama