Utusan Borneo (Sarawak)

ARAHAN KURUNG

Penduduk dua kampung Serian diarah kurung semua haiwan peliharaan, penduduk pernah digigit diarah dapatkan rawatan.

- Oleh Patricia Gari dan Rusnan Mustafa

KUCHING: Pemilik haiwan peliharaan di dua kampung iaitu Kampung Paon Sungai Rimo dan Kampung Paon Sungai Rimo Bakung, Serian diarah mengurung kesemua haiwan peliharaan mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Perkara itu dinyatakan Ketua Kaum Kampung Paon Sungai Rimo Bakung Stephen Empudot sambil mendakwa dua adik-beradik yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) berasal dari kampung berkenaan.

Beliau berkata, ramai keliru kerana Kampung Paon Sungai Rimo Bakung merupakan perkampung­an baharu, ekoran pertambaha­n penduduk di Kampung Paon Sungai Rimo yang terletak satu kilometer dari kampung asal mereka.

“Hari ini (semalam) kami diberi taklimat daripada Jabatan Kesihatan dan Veterinar. Kami diarah mengurung semua anjing serta kucing. Semua penduduk pernah digigit haiwan ini juga diarah mendapatka­n rawatan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Mencerita lanjut mengenai kejadian menimpa dua-beradik malang itu, Stephen berkata, kedua-duanya digigit anjing bapa saudara mereka yang baharu beranak awal Jun lalu.

Namun, keadaan adik-beradik berkenaan, katanya, bertambah teruk awal minggu lepas walaupun telah mendapat rawatan di Hospital Serian menyebabka­n mereka dikejarkan ke HUS.

“Semenjak April, hampir 10 individu di dua kampung ini digigit anjing termasuk isteri saya sendiri pada 1 Jun lalu, tetapi keadaan beliau bertambah baik selepas mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada Rabu lepas.

“Yang sedihnya, dua beradik yang digigit anjing bapa saudara mereka masih tenat dan kini sedang mendapat rawatan di HUS,” katanya.

Stephen menambah, isteri beliau, Mijah Sidin, 73, digigit anjing jirannya ketika dia sedang berehat di dalam rumah setelah penat melayan tetamu yang berkunjung ke rumahnya semasa Gawai.

“Isteri saya ketika digigit, sedang tidur berehat di ruang tamu tetapi terlupa menutup pintu dapur dan tanpa disedari anjing jiran kami masuk ke rumah lalu menggigit tangannya.

“Menyedari perkara itu, tiga anak lelaki saya mengejar anjing berkenaan lalu membunuhny­a dengan bantuan tuan punya haiwan itu,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau terus membawa isterinya mendapatka­n rawatan di Hospital Serian dan dibenar pulang pada hari sama, namun demam mula menyerang isterinya seminggu kemudian. Selepas mengambil ubat, katanya, demam isterinya beransur pulih tetapi deman semula beberapa hari kemudian.

“Selasa lepas ada sepasukan perubatan dari HUS datang ke rumah, menemu bual isteri saya dan sehari selepas itu, isteri saya dibawa ke HUS untuk mendapat suntikan, kemudian dihantar pulang,” jelasnya.

Katanya lagi, semenjak April lalu, hampir 30 anjing yang disyaki dijangkiti rabies di kedua-dua kampung berkenaan telah dibunuh oleh pemiliknya sendiri.

Beliau berkata, anjinganji­ng berkenaan bertindak liar dan ganas menggigit penduduk kampung menyebabka­n pemiliknya bertindak membunuh haiwan peliharaan mereka itu.

Tidak kurang juga, katanya, ada anjing yang dijangkiti mati sendiri kerana sakit.

Menurut Stephen lagi, penduduk kampung itu mula menyedari anjinganji­ng peliharaan mereka berkelakua­n pelik apabila haiwan itu sering berlawan sama sendiri, suka mengejar dan menggigit sesiapa sahaja tanpa diganggu.

“Anjing-anjing ini sangat ganas, suka menggigit apa sahaja termasuk batang kayu, air liurnya banyak meleleh dan berjalan seperti mabuk.

Ada orang memberitah­u anjing-anjing di sini mendapat penyakit ini dari Kalimantan Barat, tapi sejauh mana dakwaan itu betul, tak pasti,” katanya.

Beliau juga memberitah­u, semenjak minggu lepas kampung tersebut menjadi tumpuan pasukan perubatan termasuk pegawai dari Jabatan Veterinar yang melakukan pemeriksaa­n serta pengawasan dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Pegawai Daerah Serian Lim Hock Meng berkata, pihak Majlis Daerah Serian (MDS) sentiasa memberi kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Veterinar Sarawak bagi menangani masalah tersebut.

“Pada esok hari ( hari ini), satu Jawatankua­sa Pencegahan Penyakit Berjangkit Peringkat Bahagian akan bermesyuar­at bagi perkembang­an terkini kes ini selain membincang­kan langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil.

“Jadi, saya tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya lagi, kenyat- aan rasmi berkaitan perkara itu akan dikeluarka­n oleh Jabatan Kesihatan atau Pejabat Residen Bahagian yang merupakan urus setia jawatankua­sa tersebut.

Pada 29 Jun 2017, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementeria­n Kesihatan telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak berkaitan tiga kes viral encephalit­is yang telah dimasukkan ke wad di HUS yang disyaki dijangkiti virus rabies.

Pada 30 Jun 2017, keputusan makmal bagi ketiga-tiga kes adalah positif bagi virus rabies.

Kes pertama adalah kanak-kanak lelaki, 4, dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian. Kanak-kanak berkenaan mula mengalami demam sejak 5 Jun lepas dan telah mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Balai Ringin, Serian pada hari yang sama.

Bagaimanap­un, keadaan kes semakin tenat dan mengalami kesukaran bernafas dengan perubahan tingkah laku, bersifat agresif dan hidrofobia (takut kepada air atau takut minum air).

Pada 8 Jun 2017, kes telah dimasukkan ke wad di Hospital Serian dan selanjutny­a pada 9 Jun 2017 dirujuk ke HUS bagi rawatan lanjut.

Keadaan kes tenat dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, HUS. Kes mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira 2-3 bulan sebelum onset gejala. Kes kedua ialah kanak-kanak perempuan, 6, kakak kandung kepada kes pertama.

Mangsa mulai menga- lami demam pada 12 Jun dan dua hari kemudian kes dibawa ke Klinik Kesihatan Balai Ringin kerana demam melarat, perubahan tingkah laku serta agresif.

Mangsa kemudianny­a dibawa ke Hospital Serian pada 15 Jun 2017 dan pada 16 Jun 2017, kes dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.

Keadaan kes tenat dan juga sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, HUS.

Kes ketiga ialah kanakkanak perempuan, 7, dari Kampung Lebur, Gedong. Mangsa mula mengalami demam pada 23 Jun, 2017 dan keesokan harinya, dia mendapatka­n rawatan pesakit luar di Hospital Serian.

Keadaan kes semakin merosot dengan perubahan tingkah laku dan bersikap agresif serta hidrofobia. Pada 28 Jun, 2017, kes telah mengalami sawan (fit) dan terus dibawa ke HUS. Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim yang dihubungi semalam turut memaklumka­n keadaan ketiga-tiga mangsa masih kritikal.

Beliau turut memaklumka­n setakat semalam belum ada kes positif baharu dikesan.

“Pasukan kesihatan kami berada di lapangan semenjak Khamis lalu dan masih meneruskan aktiviti ‘active case detection’ dari rumah ke rumah untuk mengesan kes yang mengalami gigitan anjing.

“Penduduk kampung juga dinasihati menghubung­i pihak veterina jika memerlukan bantuan untuk mengawal haiwan piliharaan mereka,” jelasnya.

 ?? — Gambar Bernama ?? DIRANTAI: Stewart Michael Sandah, 55, merantai anjingnya di halaman rumahnya di Kampung Paon Sungai Rimo, Serian seperti diarah oleh Jabatan Kesihatan Sarawak.
— Gambar Bernama DIRANTAI: Stewart Michael Sandah, 55, merantai anjingnya di halaman rumahnya di Kampung Paon Sungai Rimo, Serian seperti diarah oleh Jabatan Kesihatan Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia