Utusan Borneo (Sarawak)

Rabies: Tadeus terpaksa guna motosikal hantar anak saudara dapatkan rawatan

-

SERIAN: Tadeus John, 44, terpaksa menggunaka­n motosikal untuk menghantar kedua-dua anak saudaranya mendapatka­n rawatan di Klinik Kesihatan Balai Ringin yang terletak kira-kira 22 kilometer dari Kampung Paon Sungai Rimu, Bakung.

“Kami tiada pilihan selain menggunaka­n motosikal kerana tiada kenderaan lain dan klinik kesihatan paling dekat hanya di Balai Ringin, kira-kira 22 kilometer dari sini.

“Kalau hendak ke Hospital Serian lagilah jauh…kira-kira 40 minit dari sini. Ketika itu keadaan kedua-dua anak buah saya sangat sakit.

“Pada 9 Jun lalu kedua-dua mereka mengadu sakit perut, perit kerongkong, tidak dapat tidur dan enggan minum serta makan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paon Sungai Rimo, Bakung.

Tadeus berkata dia tidak menyangka kedua-dua anak saudara itu begitu tenat kesan daripada gigitan anak anjing peliharaan­nya yang dipercayai mendapat virus maut itu daripada ibu anjing, tambahan kesan luka dialami kedua- dua mangsa sudah sembuh.

Mengakui kedua- dua mangsa tidak dibawa ke klinik untuk mendapatka­n rawatan sebaik digigit, kerana menyangka gigitan itu tidak berbahaya ditambah lokasi klinik kesihatan yang jauh dari rumah mereka.

Insiden malang menimpa kedua-dua anak saudaranya berlaku pada penghujung Mei lalu dan selepas luka gigitan sembuh mangsa kedua (perempuan) ke sekolah seperti biasa.

“Sebenarnya si adik (lelaki empat tahun) digigit dua kali. Pertama oleh anak anjing saya tetapi luka gigitan tidak dalam tetapi gigitan kali kedua oleh anjing dewasa milik jiran kami di pipinya agak dalam.

“Si kakak yang terlebih dahulu digigit oleh anak anjing saya dan selepas itu si adik, malangnya digigit dua kali,” katanya sambil menambah, dia terpaksa membunuh anjing-anjing itu.

Ditanya mengenai keadaan anak saudara itu, Tadeus berkata dia dimaklumka­n bahawa mereka tenat dan berasa amat sedih kerana menganggap mereka seperti anak sendiri.

Dia yang masih bujang berkata hanya doa dipohon mengharapk­an dua beradik yang kini tenat selepas digigit anjing gila sembuh seperti sedia kala.

“Ada juga rasa menyesal di lubuk hati, tetapi semuanya bukan sesuatu yang disangka. Harapan kami sekeluarga ialah kedua- dua beradik ini akan sembuh,” katanya sebak.

Ketika Utusan Borneo menemu bual Tadeus, ibu mangsa, Elisa, 37 tiada di rumah kerana berada di Hospital Umum Sarawak (HUS) menemani suaminya menjaga kedua-dua anak mereka yang masih ditempatka­n di Wad Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu Ketua Kaum Stephen Empudot berharap rancangan pembinaan klinik kesihatan berhampira­n bagi menampung keperluan penduduk beberapa kampung di situ.

“Saya sudah mengemukak­an permohonan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dua tahun lalu tetapi masih belum ada jawapan.

“Sedangkan saya dimaklumka­n tapak untuk pembinaan klinik berkenaan sudah ada yang terletak antara kampung ini dengan Kampung Paon Sungai Rimu, malah ada papan tanda jelas tentera ‘Tanah Milik Kerajaan’,” ujarnya.

 ??  ?? TADEUS
TADEUS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia