Utusan Borneo (Sarawak)

DVS mulakan vaksinasi rabies ke atas anjing, kucing hari ini

-

KUCHING: Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak ( DVS) hari ini akan memulakan proses vaksinasi rabies ke atas 160 anjing dan 180 kucing di tiga kampung di daerah Serian sebagai langkah menangani wabak tersebut.

Pemangku Pengarah DVS Sarawak Dr Adrian Susin Ambud berkata, berdasarka­n bancian yang dibuat pada Ahad, Kampung Paon mencatat jumlah 100 ekor anjing dan 30 ekor kucing, Kampung Krait Situbuh (30 anjing dan 100 kucing) dan Kampung Lebor (30 anjing dan 50 kucing).

“Bancian itu dijalankan bagi menganggar­kan dos vaksin yang diperlukan untuk vaksinasi. DVS akan memulakan program vaksinasi pada Selasa (hari ini),” katanya dalam kenyataan media semalam.

Dr Adrian berkata, selain sesi bancian anjing dan kucing kelmarin, jabatan berkenaan turut menjalanka­n pengawasan klinikal dan pengumpula­n sampel di ketiga-tiga kampung tersebut.

Menurutnya, program itu dijalankan dengan kerjasama pegawai- pegawai Jabatan Kesihatan Negeri dan Persatuan Pencegahan Penganiaya­an Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA).

Beliau turut menyampaik­an taklimat mengenai rabies dan langkah pencegahan serta kawalan pada anjing dan kucing pada sesi dialog di Kampung Paon yang dihadiri 250 peserta.

Manakala Jabatan Kesihatan Negeri pula memfokuska­n topik rabies dan langkah pencegahan di kalangan populasi manusia, sementara SSPCA menyentuh mengenai kebajikan haiwan.

Dr Adrian turut mengingatk­an penduduk kampung untuk mengurung anjing mereka serta memerhatik­an haiwan peliharaan mereka selama beberapa hari, sehingga 10 hari, dan melaporkan kepada pihaknya jika mengesan sebarang tingkah laku tidak normal.

“Program kesedaran rabies, vaksinasi, siasatan dan pengawasan akan dijalankan dalam enam kilometer radius dari kawasan-kawasan terjejas,” katanya.

Kesemua aktiviti itu dijalankan secara kerjasama dengan agensi-agensi relevan lain termasuk Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Residen, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan, SSPCA, dengan kerjasama penduduk kampung.

 ??  ?? DR ADRIAN
DR ADRIAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia