Utusan Borneo (Sarawak)

Ops Padu banteras rompakan petroleum di laut bermula

-

PUTRAJAYA: Operasi bagi membantera­s kegiatan rompakan di laut yang menyasarka­n kargo petroleum cecair akan bermula hari ini melibatkan perairan wilayah selatan iaitu Melaka, Negeri sembilan dan Johor, kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar.

Beliau berkata Ops Padu selama dua minggu itu digerakkan secara bersepadu melibatkan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia ( TLDM) dan Pasukan Polis Marin.

“Ops Padu membolehka­n setiap aset penguatkua­saan melibatkan pegawai dari agensi lain. Sebagai contoh, jika aset TLDM digunakan seorang pegawai Maritim Malaysia dan seorang pegawai polis marin akan ditugaskan bersama sepanjang operasi.

“Jika aset pasukan polis marin digunakan, seorang pegawai Maritim Malaysia dan seorang pegawai TLDM akan ditugaskan bersama sepanjang operasi. Begitulah seterusnya jika melibatkan aset Maritim Malaysia,” katanya dalam sidang media pelancaran operasi itu di sini semalam.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan dan Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah.

Menurut Zulkifili, Ops Padu itu dilancarka­n susulan rompakan kapal tangki milik syarikat minyak Thailand yang dikenali sebagai CP41 pada 23 Jun lalu di perairan luar Kuantan.

Media sebelum ini melaporkan CP41 yang membawa muatan diesel dalam pelayaran ke Songkla, Thailand dari Singapura disamun kumpulan lanun yang mencuri 1.5 juta liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruha­n dibawa kapal terbabit.

Zulkifili berkata aktiviti rompakan di laut yang menjadikan kargo minyak diesel sebagai sasaran dilihat bagi memenuhi permintaan pasaran gelap dengan harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran antarabang­sa dan tempatan.

Ops Padu memberi tumpuan kepada kapal-kapal tangki yang membawa produk petroleum cecair seperti diesel dan petrol sahaja iaitu tidak termasuk cecair lain, katanya.

Beliau berkata fokus pemeriksaa­n Ops Padu ialah terhadap dokumen perkapalan, dokumen kargo dan segala deklarasi yang melibatkan pergerakan atau aktiviti kapal dan juga kargo. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia